Hiburan

"Dua Tulang Belakang Retak, Tulang Koksik Pecah, Kereta Pula Remuk, Enjin Tercabut" - Awal Ashaari

gempak
Amri Hassan
30/03/2018
04:00 MYT
Sponsor Banner
"Dua Tulang Belakang Retak, Tulang Koksik Pecah, Kereta Pula Remuk, Enjin Tercabut" - Awal Ashaari
Pengacara popular Awal Ashaari sebak apabila berkongsi semula kisah sebenar kemalangan ngeri yang berlaku tiga tahun lalu.
Kata Awal, 36, kemalangan yang hampir meragut nyawanya itu berlaku pada tarikh yang sama semalam, 29 Mac 2015.
"Ini kali pertama saya membuka semula kisah yang sudah saya campak jauh-jauh dari hidup saya.
"Ketika kejadian saya sebenarnya demam dan duduk di kerusi penumpang sebelah kiri, ketika dalam perjalanan kereta yang dipandu rakan saya terbabas melanggar bahu jalan.
"Kemudian tercampak, terbalik dan melambung kira-kira 100 meter sebelum terhempas atas tunggul pokok yang baru dipotong.
"Ketika itu saya tergantung dan hanya sedar apabila dengar orang menjerit meminta tolong, saya nampak rumput dan kaki orang berjalan.
"Kemudian ada seseorang datang membuka tali pinggang keselamatan dan saya terjatuh. Kemudian dikejarkan ke hospital.
"Memang kalau imbas kembali kisah silam itu saya akan beremosi. Saya bersyukur diberikan peluang kedua ketika saya memikirkan saya hampir kehilangan semua insan yang saya sayangi dalam hidup," katanya sebak kepada Astro Gempak.
Awal yang hampir menitis air mata ketika itu memberitahu, kesan daripada kemalangan ngeri itu, keretanya jenis BMW 6 Series gagal dibaik pulih dan dia sendiri terpaksa menjalani rawatan susulan selama setahun setengah.
"Saya patah tulang T2, L4 dan tulang Koksik, apabila duduk saya akan rasa berpasir dan saya terpaksa membawa 'pengalas' ke mana-mana saya pergi.
"Sampaikan orang ingat saya bawa pelampung Lara ketika itu.
"Tetapi sepanjang tempoh rawatan selama setahun setengah saya berhabis puluhan ribu untuk pelbagai rawatan, MRI, CT Scan, fisioterapi dan sebagainya.
"Sejak itu baru saya sedar betapa pentingnya insurans nyawa dan kesihatan," tambahnya.
Awal ditemui pada majlis perlantikannya sebagai duta kempen #Demi untuk sebuah bank perdagangan terbesar negara semalam.
Pada 11.15 pagi 29 Mac 2015, Awal yang dalam perjalanan ke Jom Heboh Melaka untuk mengacarakan program Melodi di sana terbabit dalam kemalangan yang berlaku di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Hentian Rawt & Rehat Ayer Keroh arah selatan.
Ketika itu, Awal bersama rakannya, Izuan Mokhtar dari Kuala Lumpur.
Teks oleh: Amri Hassan Foto: IG @awalashaari
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024