Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Dua Wanita Istimewa Jadi Inspirasi Nama Anak Ayda Jebat & Nabil Mahir

Izwan Isa
29/09/2021 00:55 MYT

Ana Nayla. Cantik sungguh nama yang diberikan oleh Ayda Jebat dan suami, Nabil Mahir buat cahaya mata sulung mereka yang baru sahaja menjengah dunia pada 21 September lalu.

Baik Ayda mahupun Nabil, masing-masing mengakui teruja bergelar ibu dan bapa, setiap kali menatap wajah kupu-kupu syurga yang sangat mereka kasihi.

A post shared by Ayda Jebat (@aydajebat)


“Alhamdulillah, keadaan saya dan Ana baik-baik sahaja. Adatlah berasa sedikit penat saat berpantang. Tetapi, perasaan itu langsung hilang bila menatap wajah Ana. Jujur, kami berasa sangat bahagia sekarang,” ujar Ayda, 29, kepada Gempak.

BACA: #Babywuvv Ayda Jebat Pilih Ana Nayla, Ramai Tergamam Tengok Mata Baby, “MasyaAllah Cantiknya”

Menurut Ayda atau nama sebenarnya, Nur Suhada Jebat, banyak pengalaman yang diraih sekitar seminggu bergelar ibu.

“Pengalaman menjadi ibu memang istimewa kerana saya tidak boleh beli pengalaman tersebut di mana-mana. Sejak kehadiran Ana di sisi, banyak hal baharu yang kami pelajari khususnya cara untuk menguruskan anak.

“Dalam pada itu, kami juga tidak mendapat tidur yang cukup, terutamanya Nabil kerana dia yang buat semua benda. Namun, perkara tersebut bukanlah satu hal yang besar asalkan kami ada dekat dengan Ana,” ujar Ayda.

Berbicara lanjut, Ayda turut berkongsi mengapa dia dan Nabil memilih Ana Nayla sebagai nama untuk anak mereka.

“Nayla membawa maksud ‘achiever, successful one’ manakala nama Ana pula kami pilih berdasarkan nama ibu kami.

“Ibu saya bernama Rohana dan ibu Nabil pula Diana. Jadi, kami memilih nama syurga kami untuk dijadikan sebagai sebahagian daripada Ana Nayla,” ujar Ayda lagi.

Dalam pada itu, Ayda menerusi Instagram turut mengumumkan yang anaknya kini memiliki akaun Instagram rasmi.

Ditanya pula mengapakah Ayda dan Nabil mewujudakan akaun Instagram untuk Ana, jawab Ayda: “Kami membuka akaun untuk Ana kerana mahu memudahkan kaum keluarga dan sabahat mengikuti perkembangan anak kami,” katanya menutup perbualan.

Ayda mendirikan rumah tangga dengan Nabil pada 1 Januari lalu selepas mengikat tali pertunangan secara dalam talian pada 28 April 2020, ketika negara masih lagi dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

#Ayda Jebat #Nabil Mahir #Ana Nayla
;