PERSONALITI

“Dua-Dua Rita Suka Dan Sayang. Tapi…” Rita Nadira Kongsi Cabaran Dunia Lakonan Dan Peragaan.

Huda Hussain 06/09/2021 | 10:09 MYT
Wajahnya sering kali menghiasi paparan majalah, iklan dan sebagainya. Tetapi bakat lakonannya yang pernah mewarnai skrin televisyen juga tidak kurang hebatnya. Tidak mahu bersandarkan pada pakej yang dimiliki, bagi Rita Nadira masih terlalu jauh perjalanannya dalam bidang lakonan. Banyak yang perlu diperbaiki dan diterokai.
Kredit Foto: IG Rita Nadira
Persediaan yang jadi rutin Rita sebelum masuk set penggambaran?
Rita akan baca skrip berulang-ulang kali, lebih daripada tiga kali. Kenapa? Sebab Rita nak faham karakter tu. Bukan sahaja karakter Rita tapi Rita nak faham karakter yang ada dalam cerita tu. Ia akan membantu Rita di set nanti. Juga sebab Rita nak faham jalan ceritanya macam mana. Dari segi mental dan fizikal pula, Rita akan sediakan apa-apa sahaja untuk menguatkan mental dan fizikal. Setiap set, kita akan berjumpa orang yang berbeza, pengarah, pelakon dan kru yang berbeza. Kita tak tahu personaliti mereka bagaimana. Dan bagi pelakon, kita seolah-olah ‘hidup’ dengan mereka berbulan-bulan. Jadi macam mana nak eratkan hubungan sesama kita, tak mahu timbul salah faham; jadi bagi Rita itu susah sebenarnya.
Kepuasan antara profesyen dalam bidang lakonan dan peragaan dirasai apabila?
Dalam bidang lakonan, kepuasan itu dirasai apabila berjaya bawa sesuatu watak. Bila pengarah suka yang dibuat, pelakon lain pun selesa dengan lakonan kita. Tetapi percayalah, setiap pelakon takkan pernah rasa puas bila tengok semula hasil lakonannya. Dan kalau ditanya pada Rita, sudah semestinya jawapannya Rita takkan puas sebab masih banyak lagi yang Rita perlu belajar dan perbaiki. Dan kalau puas sekalipun Rita rasa apabila watak itu diterima oleh mereka yang menonton, umpamanya apa yang Rita ‘bawakan’ itu sampai pada mereka.
Kredit Foto: IG Rita Nadira
Dan kepuasan dalam bidang peragaan pula adalah apabila sesuatu gambar tu bukan sahaja cantik tapi memuaskan. Kadang-kadang bila pose, tapi tak puas dengan apa yang cuba disampaikan dalam gambar tu. Tapi bila dapat pose yang baik, angle dan kedudukan yang betul secara tak langsung rasa puas. Itu pendapat peribadi Rita. Sama juga bila di runway, bila dapat bawa baju itu dengan cantik. Ramai sebenarnya tak tahu, bagi kami bila di runway tu berdebar-debar rasanya. Mana tidaknya, dengan ada orang yang tonton, pakai heels lagi, baju yang baru pertama kali disarung. Ya, pernah fitting tapi tak pernah catwalk lagi dengan baju tu. Umpamanya kita tak tahu apa yang jadi. Kalau berjaya bawa baju itu dengan baik di atas runway, itulah satu kepuasan.
Harapan Rita?
Kita fight dan cuba hapuskan Covid-19 semampu yang kita boleh supaya pada 2022 kita dapat hidup yang lebih bebas daripada sekarang, kita dapat bekerja seperti biasa. Kita tahu Covid-19 mengganggu banyak perkara, pekerjaan kita. Dan kita tahu ramai yang hilang pekerjaan. Besar harapan Rita untuk tahun 2022, kita dapat bangkit semula untuk teruskan hidup dan harapan untuk diri Rita pula, 2022 dapat hasilkan drama, filem atau cerita-cerita yang lebih banyak dan lebih baik. Juga menjadi harapan Rita moga keluarga Rita berada dalam keadaan yang baik, sihat semuanya. Begitu juga dengan peminat, rakan-rakan rapat dan ahli keluarga yang lain semoga semuanya berada dalam keadaan yang baik dan dilindungi-Nya.
#Rita Nadira #Lakonan #Peragaan