Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
BERITA

Duda Anak Tiga Ditahan Rakam Video Aib Pelajar Sekolah

Awani 29/04/2025 | 08:25 MYT
Seorang pengawal keselamatan ditahan selepas dipercayai cuba merakam gambar mengaibkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di sebuah pasar raya di bandar Kajang.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof mengesahkan kejadian itu dilaporkan pada 24 April lalu, sekitar jam 9.47 malam, selepas video berkaitan insiden berkenaan tular di aplikasi Instagram milik capricedaddycap.

"Bapa remaja itu, seorang penjawat awam berusia 42 tahun, bersama anaknya berada di kaunter pembayaran pasar raya tersebut pada kira-kira jam 7.30 malam apabila suspek menghampiri dan cuba merakam gambar mengaibkan anaknya.

"Cubaan tersebut bagaimanapun berjaya digagalkan hasil tindakan pantas seorang lelaki tempatan lain yang berada di premis berkenaan dan menegur suspek.

"Susulan teguran itu, suspek yang berusia 48 tahun menafikan perbuatannya sebelum segera beredar dari lokasi," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Naazron berkata, bertindak atas maklumat diterima, polis menahan seorang lelaki warga tempatan kira-kira jam 12.15 tengah malam, pada Selasa.

"Polis turut merampas sebuah telefon bimbit dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

"Suspek kini direman selama satu hari bagi membantu siasatan.

"Suspek seorang duda dan mempunyai tiga orang anak," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 15(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi balai polis berhampiran atau terus berhubung dengan Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Noriyati Binti Abdullah di talian 016-3516908.

Sumber: astro awani

#Anak #sekolah #Duda #Pelajar #Aib #Tahan #Tiga