BERITA

Duda Didakwa Tampar Anak Hingga Cedera, Berang Dipanggil Bodoh Berulang Kali

Gempak 02/07/2025 | 16:53 MYT
Gara-gara menampar pipi anak perempuannya sehingga cedera, seorang duda yang juga penganggur didakwa di Mahkamah Majistret, Melaka pada Rabu.

Didakwa sengaja cederakan anak usia empat tahun, tampar pipi

Tertuduh Mohamad Hazmi Mansor, 34, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap anak perempuannya yang berusia empat tahun dengan cara menampar pipi mangsa.

Kesalahan itu dilakukan di kedai tempat kerja tertuduh di Taman Cheng Utama, kira-kira jam 2 petang, pada 7 April lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun dan boleh dikenakan denda maksimum RM2,000, sabit kesalahan.

Berang sebab perkataan 'bodoh' digunakan

Dipercayai tertuduh yang telah bercerai dengan isterinya sejak empat tahun lalu bertindak sedemikian kerana berang selepas kanak-kanak itu berulang kali menggunakan perkataan 'bodoh' walaupun ditegur.

Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian mencadangkan jaminan RM10,000.

Tertuduh yang diwakili peguam Amritpal Singh merayu jaminan rendah dengan alasan bapa kepada tiga orang anak itu baharu diberhentikan kerja selain menanggung anak-anak dan kedua orang tuanya.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM 2,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 11 Ogos depan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Sumber: Sinar Harian

#Anak #Mahkamah #Tampar #Duda