Vokalis kumpulan Slam, Zamani Ibrahim, 50, melahirkan rasa syukur sewaktu majlis persandingannya bersama isteri, Nur Juliana Abdul Rani, lapor Awani.

Menurut Zamani, dia seperti tidak percaya majlis bersejarah dalam hidupnya itu benar-benar menjadi realiti.

"Saya bersyukur dan amat berterima kasih kepada perunding perkahwinan yang menaja sepenuhnya majlis ini.

"Sewaktu berada diatas pelamin ketika bersanding, saya rasa seolah-olah seperti bermimpi.

"Perancangan ini dibuat sebelum saya menunaikan umrah pada hujung Oktober lalu. Tarikhnya memang dah ditetapkan dari awal iaitu 1 Januari 2020," katanya.

Mengulas mengenai persandingan, Zamani menjelaskan tarikh 1 Januari 2020 dipilih untuk mencipta kelainan.

“Kiranya apabila meraikan tahun baharu setiap tahun, ia sekali gus meraikan ulang tahun majlis resepsi kami.

"Selain itu, hanya tarikh ini saya ada kelapangan kerana selebihnya diisi dengan jadual persembahan yang padat," ujar Zamani lagi.

Terdahulu, Zamani dan Juliana diijabkabul pada 20 September 2019.

Sumber: Astro Awani