Hiburan
Duduk Di Rumah Tak Jadi Halangan, Aizat Amdan Tampil Dengan Single Terbaru Berjudul Dup Dup!
Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac lalu, sedikit sebanyak membataskan aktiviti seni penyanyi dan komposer Aizat Amdan. Namun penyanyi yang mesra disapa sebagai Aizat ini, menggunakan masa yang terluang ini untuk mencipta lagu dan melangsaikan kerja-kerja pasca-produksi untuk album akan datang.
Tidak pernah lupa menjalankan tanggungjawab sosialnya sebagai rakyat Malaysia dan artis berpengaruh, Aizat juga berusaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai wabak COVID-19 menerusi platform media sosial.
Aizat mengingatkan rakyat agar patuh kepada arahan kerajaan serta berkempen memohon sumbangan untuk dana pandemik COVID-19 MERCY Malaysia.
Kini, bagi menceriakan suasana suram yang dialami negara dalam tempoh PKP ini, Aizat tampil dengan karya terbaharunya yang berjudul Dup Dup.
Menampilkan Bunga sebagai rapper, Dup Dup merupakan lagu ciptaan Aizat sendiri bersama komposer yang semakin meningkat naik, Mel Ramlan.
Mengulas tentang lagu ini, Aizat berharap agar ia mampu memberi aura positif kepada peminat.
“Saya berharap agar lagu Dup Dup ini bukan saja diterima baik oleh peminat malah dapat memberikan aura positif kepada pendengar muzik tempatan.
"Walaupun dalam tempoh ini kita harus menjarakkan diri antara satu sama lain, namun lagu ini boleh menjadi penghubung antara kita dengan yang tersayang,” kata Aizat yang turut terlibat dalam Konsert #WONDAdirumah.
#WONDAdirumah merupakan sebuah konsert dari rumah pertama di Malaysia yang menyaksikan Aizat bersiaran secara langsung dari rumahnya, ia boleh ditonton menerusi saluran Astro Ria dan laman IGTV ERA FM.
Dup Dup merupakan terbitan Kasi Gegar Entertainment dengan kerjasama Warner Music Malaysia.
Single ini boleh didapati di semua pelantar digital bermula 3 APRIL 2020 manakala lirik videonya boleh ditonton di saluran Youtube Aizat Amdan.
Untuk anda yang ingin mengetahui maklumat lanjut, sila layari www.theaizatamdan.com.
Must-Watch Video