"Kita harap tak ada lagi pemain yang positif COVID-19 termasuk Safawi Rasid."

Itu kerisauan pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sambil mengakui Safawi antara pemain yang sedang dipantau rapi agar tidak dijangkiti COVID-19.

Ini kerana jelas Cheng Hoe, Safawi adalah rakan sebilik Akhyar Rashid yang disahkah positif COVID-19 semalam sekali gus terpaksa diketepikan bagi menjalani proses kuarantin selama 10 hari bersama seorang lagi pemain iaitu Quentin Cheng.

Menurut jurulatih yang berasal dari Kedah itu kepada Arena Metro, Safawi dan barisan pemain lain ketika ini tidak menunjukkan apa-apa simptom dan beliau berharap tiada lagi pemain negara dijangkiti.

"Pemain duduk satu bilik dua orang. Memang duduk sekali (Safawi dan Akhyar), tapi benda ini kita tak pasti lagi adakah 100 peratus boleh berjangkit.

Buat masa ini Safawi dalam keadaan yang terbaik. Safawi pun tak cakap apa-apa mengenai tahap kesihatan, nampak dia sihat dan bersemangat. Pemain lain pun sama, tak ada sebarang simptom.

"Saya harap dan jom kita berdoa supaya tak ada lagi pemain yang positif selepas ini," katanya.

Safawi ketika ini berada pada prestasi terbaik selepas meledak jaringan hatrik menentang Laos serta satu gol ke atas Kemboja.

Skuad Harimau Malaya bakal berdepan juara bertahan Vietnam pada aksi ketiga kempen Piala AFF dalam aksi Kumpulan B di Stadium Bishan, Ahad ini.

Terdahulu, empat pemain iaitu Khairulazhan Khalid dan Faisal Halim disahkan positif selepas membuat ujian calitan di Lapangan Terbang Changi sebaik tiba di Singapura, Jumaat lalu sebelum giliran Akhyar dan Quentin pula disahkan positif pagi semalam.

Skuad negara yang diletakkan dalam Kumpulan B berjaya meraih enam mata maksimum dalam dua perlawanan apabila mudah menundukkan Kemboja 3-1 dan Laos 4-0.

Ketika ini, Malaysia memimpin carta kumpulan dengan diekori rapat Indonesia dan Vietnam di belakang di tangga kedua dan ketiga, manakala Laos serta Kemboja mengisi dua kedudukan tercorot.

Sumber: Harian Metro