HIBURAN
Duet Dengan Wang Leehom, Shila Amzah Tak Sangka Dapat Satu Pentas Dengan Idola - “Lagu Forever Love Itu Sebenarnya…”
Penyanyi, Shila Amzah meluahkan rasa syukur apabila diberi peluang untuk berduet bersama penyanyi popular Wang Leehom dalam konsert The Free Show yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Menurut Shila, momen menyanyikan lagu Forever Love bersama penyanyi idolanya itu sangat bermakna, kerana Wang Leehom merupakan artis berbahasa Mandarin pertama yang diminatinya sejak zaman sekolah.
Tambahnya lagi, peluang untuk berduet dengan penyanyi legenda itu ibarat satu jodoh yang telah ditentukan.
“Lagu Forever Love nyanyian Wang Leehum itu merupakan lagu mandarin pertama yang saya tahu semasa saya sekolah menengah. Ikoniknya bila dapat berkongsi satu pentas dengan dia saya sangat gembira. Dan dialah penyebab saya suka lagu mandarin.
“Alhamdulillah, dia macam jodoh juga kalau tuhan kata itu adalah masanya maka itulah masanya. Untuk berada dalam industri ini bukan mudah namun percayalah satu hari nanti kita akan kecapi juga,” kata Shila kepada Gempak.
Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, 34, turut berkongsi bahawa dia secara peribadi dijemput oleh Wang Leehom untuk menjayakan konsert tersebut.
Shila yang teruja dengan pelawaan tersebut terus meminta pengurusnya untuk memastikan jadualnya kosong bagi memenuhi undangan itu.
“Secara jujurnya dia mesej saya dekat Instagram, kami pun follow dah lama lepas tu dia ada kata nak berbincang dengan saya satu perkara dan dia maklumkan nak jemput saya menyanyi bersama dengan dia.
“Saya memang tak percaya, jadi saya cakap dekat manager saya kalau tarikh itu ada apa-apa cancelkan, jadi selepas itu semua perbincangan dilakukan oleh manager saya dan manager dia,” kongsi Shila.
Pelantun lagu Patah Seribu itu juga menyimpan impian untuk menghasilkan sebuah lagu bersama Wang Leehom.
“Ia akan jadi satu perkara yang besar jika saya dapat berduet dengan dia even ada lagu baru, kita doakan yang baik-baik tapi saya dah cukup happy bila dia membuka ruang untuk ada dalam contact list dia,” tambahnya.