Berita
"Duit Banyak Mana Sekali Pun Tak Ternilai Dengan Persahabatan Dan Ukhwah Allah Bagi" - Shah Slam
Mungkin ramai peminat tidak tahu pemain gitar terkenal, Shah Slam sering mengambil peluang bermain bola sepak bersama rakan artis yang lain sebagai aktiviti riadah buat dirinya daripada hanya beraksi di atas pentas.
Jika artis lain bermain bola sepak sekadar untuk bersukan mahupun mengisi masa lapang sebaliknya Shah mempunyai pandangan tersendiri terhadap apa yang dilakukannya itu.
Ujarnya, di kesempatan bersukan dengan rakan artis, dia sebenarnya lebih melihat nilai persahabatan antara satu sama lain adalah suatu yang cukup bermakna.
"Duit banyak mana sekali pun tak ternilai dengan persahabatan dan ukhwah yang Allah bagi, baik teman-teman riadah, teman kerja atau teman ibadah. Moga kita semua diberkati dan diredhai Allah sampai bila-bila," katanya yang dipetik daripada akaun Instagramnya, @shahslam_.
Dalam status itu, dia turut memuat naik video bersama rakan artis yang menyertai pasukan selebriti, Super Lawak FC yang bermain untuk satu perlawanan bola sepak di Stadium Hang Jebat, Melaka.
Menariknya, Shah juga menunjukkan jersi nombor 17 miliknya sambil memberitahu nombor tersebut merujuk pada pemain terkenal Singapura, Fandi Ahmad.
Netizen turut memberi komen pada status itu sambil memuji muka Shah semakin berseri sejak pulang dari Tanah Suci sebelum ini.
"Satu-satu gitaris yang saya follow termasuk abang Lili Slam. Sebab minat sangat kat Slam. Hihi. Berseri mula abang Shah. Sejuk mata tengok," kata netizen @juejuma2310.
Ada juga netizen beranggapan Shah semakin kacak dengan imej rambut pendek.
"Hensem abang Shah rambut pendek, berseri-seri nampak," kata netizen @shaacastella.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Foto: IG @shahslam_
Must-Watch Video