Hiburan
“Duit Kemenangan Nak Gembirakan Hati Ibu Bapa” - Sumpah Diangkat Juara Lagu, Naim Daniel Menangis!
Juara Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34), Naim Daniel tidak dapat menahan sebaknya sebaik sahaja habis membuat persembahan lagu Sumpah pada malam berprestij tadi.
Menurut Naim, dia tidak percaya dapat berada sama tahap dengan barisan bintang AJL34 sehingga berjaya dinobatkan sebagai juara.
“Seronok rasanya apabila mempunyai satu-satu karya yang diangkat. Ia menjadi pembakar semangat untuk saya terus hasilkan karya-karya yang lebih baik di samping lebih banyak material baru.
“Saya merupakan pendatang baru dalam industri muzik dan diberi tanggungjawab untuk bertanding di AJL34, ia membuka lembaran baru pada saya.
"Saya rasa sangat bersyukur sebab sebagai seorang yang kecil, saya dikeliing oleh penyanyi-penyanyi hebat.
“Saya melihat AJL34 ini sebagai power final. 12 lagu yang dipertandingkan semua bagus-bagus,” ujar Naim kepada Gempak.
Naim berkata demikian selepas diumumkan sebagai juara AJL34 yang diadakan di Axiata Arena, Kuala Lumpur pada Ahad.
Merealisasikan komik di dalam video muzik ke atas pentas, ini pertama kali lagu Sumpah berada di pentas berskala besar.
“Konsep persembahan datang daripada syarikat rakaman sendiri. Saya tertarik dengan idea segar ni dan belum pernah dibuat orang. Jadi kenapa tidak kita buat idea ilustrasi komik menjadi nyata.
“Kalau boleh duit kemenangan ni saya nak gembirakan hati ibu bapa. Sebab selama ni saya tidak ada banyak benda boleh tawarkan pada mereka.
“Diberi bakat berlakon dan menyanyi, Insya-Allah saya nak utamakan ibu bapa saya dulu," katanya lagi.
Pada persembahan AJL34 malam tadi, lagu Sumpah ciptaan Omar K dan Naim Daniel menjadi juara AJL34.
Lagu bangun dari Aman Ra pula menduduki tangga kedua manakala lagu Anta Pertama ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong berada di kedudukan ketiga.