Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Duit Raya Anak Tidak Boleh Digunakan Sewenang-Wenangnya Oleh Ibu Bapa

Gempak
12/04/2024 07:55 MYT
Setiap kali tibanya lebaran, hal yang sering menjadi tumpuan tentulah pemberian duit raya. Dan kelompok yang kerap menerima duit raya sudah tentu kelompok kanak-kanak dan remaja.

Namun, bagi anak-anak yang masih kecil, ibu bapa selalunya mengambil tanggungjawab untuk menyimpan wang yang diterima supaya ia dapat digunakan ke jalan yang betul pada masa akan datang.

Sungguhpun begitu, ada juga antara ibu bapa yang sering menggunakan wang pemberian sempena hari raya itu untuk kegunaan sendiri.

Tidak boleh guna

Ibu bapa tidak boleh dengan mudah atau sewenang-wenangnya menggunakan duit raya anak mereka bagi tujuan peribadi atau perbelanjaan.

Memetik Harian Metro, Pensyarah Fiqh Fatwa Kontemporari, Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff berkata, ibu bapa dinasihatkan agar meminta izin daripada anak-anak mereka.

"Duit raya anak-anak adalah pemberian orang ramai, sahabat handai atau keluarga kepada anak-anak itu.

"Jadi, ibu bapa tidak boleh ambil duit anak itu untuk tujuan kos perjalanan, perbelanjaan atau apa saja bagi tujuan peribadi dan sebagainya.

"Bahkan kalau nak guna, dinasihatkan ibu bapa itu meminta izin daripada anak-anak untuk menggunakan duit raya itu bagi tujuan tertentu," katanya.

Amanah

Menurutnya, ibu bapa perlu amanah ke atas duit raya yang diberikan kepada anak-anak mereka.

"Perlu dijelaskan juga bahawa duit raya ini adalah duit yang sudah dikhususkan untuk anak-anak kita. Jadi oleh sebab itu, dinasihatkan kepada ibu bapa untuk amanah dengan duit yang sudah diamanahkan si pemberi itu agar tidak disalah guna.

"Mungkin sebahagian ibu bapa anggap ia sebahagian daripada duit yang mereka boleh guna, tapi hakikatnya tidak," katanya.

Sumber: Harian Metro

ARTIKEL BERKAITAN: Wani Kayrie Tak Kisah Habis Beribu Ringgit Untuk Raya - “Ada Rezeki Lebih, Saya Belanja Keluarga Balik Sandakan”

ARTIKEL BERKAITAN: Nurel Baharin Kongsi Keunikan Sambutan Raya di Sarawak - “7 Hari Raya Kami Akan Pakai Baju Raya Fullset”

#Duit Raya #Ibu bapa guna duit raya anak #Tidak boleh guna duit raya anak
;