Jika banyak duit, apa pun boleh jadi. Mungkin itu yang melambangkan kisah seorang bapa yang telah membelikan tanah buat anak lelaki kesayangannya di bulan!

Lelaki tersebut, Om Sagar seorang politikus yang juga merupakan usahawan tersohor dalam bidang hartanah dari India dilaporkan telah menghadiahkan tanah di bulan kerana menyifatkan anaknya seperti bulan.

Sagar telah membelikan anaknya, Namaya Sagar satu ekar tanah di bulan dekat Lake of Dreams. Lake of Dreams dipercayai mempunyai pemandangan atau cahaya bulan paling menarik.

“Anak lelaki saya ibarat bulan buat saya. Jadi saya ingin memberinya ‘sepotong’ tanah di bulan,” ujar Sagar seperti dilaporkan Gulfnews.

Menerusi laporan sama, Sagar telah membeli tanah tersebut menerusi Luna Society International, sebuah organisasi yang berada di New York, AS yang menjual hartanah di luar angkasa.

Dia bagaimanapun tidak menyatakan jumlah wang yang telah dikeluarkan untuk menghadiahkan tanah di bulan buat anaknya itu.