Demi memastikan penonton terus disajikan dengan kandungan yang berkualiti, jenama Astro Originals mempersembahkan Dukun Diva, sebuah drama tempatan pertama yang mengangkat kisah ‘female con artist’ dan 'anti-heroes'.

Sekali lagi, rantaian siri di bawah jenama Astro Originals tampil dengan seribu kelainan apabila Dukun Diva ini hadir sarat dengan elemen drama, komedi, suspen, aksi dan penyiasatan.

Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata Astro akan memperhebatkan lagi fokus ke arah kandungan berkualiti.

“Astro akan menerokai pelbagai lagi konten segar yang menawarkan kelainan dan menarik untuk dipersembahkan kepada penonton Malaysia.

“Menjadi hasrat kami agar Astro Orginals akan terus memainkan peranan yang lebih besar menjangkaui nilai hiburan dan dilihat sebagai jenama yang dapat mempersembahkan kandungan setanding drama-drama premium luar negara.

“Dalam mengutamakan penonton Malaysia meliputi semua lapisan masyarakat, kali ini Dukun Diva lebih memfokuskan konteks “Malaysian” dari sudut skrip, jalan cerita, idea, pelakon, sinematografi agar drama ini dapat memenuhi selera semua penonton tidak mengira latar.

“Kami yakin jika karya tempatan berjaya diterima oleh segenap masyarakat, ia juga mampu mempelopori pasaran luar. Ini kerana kita sering dihidangkan dengan budaya luar menerusi drama mereka.

“Sudah tiba masanya untuk drama kita pula mempamerkan budaya dan keistimewaan Malaysia serta mengikuti peredaran semasa dalam bentuk santai buat penonton dalam dan luar negara,” katanya.

Tambah Jastina lagi Dukun Diva meletakkan subjek 'anti-heroes' wanita yang mana ia jarang dipersembahkan dalam drama siri tempatan.

“Banyak mesej positif yang cuba disampaikan untuk tatapan penonton. Di samping itu, jenama Dukun Diva telah menarik perhatian produk tempatan untuk bekerjasama bagi menghasilkan produk eksklusif edisi Dukun Diva dari pengusaha lilin beraroma, Lampu Cherita, dan pembekal coklat tempatan jenama Love18C,” tambahnya.

Astro Originals sebelum ini menampilkan drama-drama yang mendapat sambutan hangat penonton bermula dengan kehadiran Kampong Pisang Bersiri-Siri, iaitu drama pertama daripada francais filem komedi nombor 1, Kampong Pisang.

Seterusnya Projek: Anchor SPM, drama bergenre ‘coming of age’ yang mendapat sambutan hangat dan dinobatkan anugerah Drama Bersiri Terbaik di Asian Academy Creative Awards 2021, diikuti pula dengan I-Tanggang, drama pertama di Malaysia yang mengetengahkan isu realiti penderitaan mental Munchausen Syndrome by Proxy.

Jenama Astro Originals telah meletakkan satu tanda aras dan definisi baru bagi nilai kualiti drama tempatan dalam kalangan penonton.

Jangan lupa untuk menonton drama Dukun Diva yang dibarisi pelakon berbakat besar Nadia Aqilah, Eyka Farhana, Emelda Rosemila, Tony Eusoff, Siti Khadijah Halim, Kahoe Hon, Aloy Paradoks serta pelakon handal Adlin Aman Ramlie.

Drama premium bersiri ini turut dihiasi dengan penampilan istimewa, antaranya pelakon terkenal daripada pelbagai latar seperti Che Puan Juliana Evans, Douglas Lim, Aziz M Osman, Sanjana Suri, Anas Ridzuan, Mat London, Fadhli Masoot dan Dee Al Hadi.

Dukun Diva telah mendapat sentuhan kreatif oleh pengarah muda yang namanya semakin meningkat naik dalam kalangan penonton sejak mengarahkan telemovie seperti Shiba Shiba Doo, Cerai dan Rompak Raya, Ariff Zulkarnain.

Drama siri 8 episod ini merupakan idea asal oleh pemenang anugerah Skrip Terbaik di Anugerah Internasional Motivational Film Festival Bridge of Arts (IMFF), Rusia pada tahun 2016 dan Lakon Layar Terbaik di Anugerah Lawak Warna 2015, Alfie Palermo.

Episod pertama Dukun Diva akan ditayangkan secara serentak di saluran Astro Citra dan Astro Ria pada jam 9.00mlm, 6 Disember ini.

Manakala untuk minggu-minggu seterusnya, saksikan siri drama premium ini setiap hari Isnin, jam 9.00 malam, eksklusif di Astro Citra.