Tiada siapa yang mahukan perpisahan dalam kehidupan berumah tangga. Begitupun, soal jodoh semuanya merupakan ketentuan Allah.

Bagi penyanyi kelahiran program realiti Suara Viral, Boy atau nama sebenarnya, Mohd. Firdhaus Mahadzir, 32, dia mengakui perceraian yang dilaluinya empat tahun lalu, benar-benar mendatangkan seribu satu hikmah dalam hidupnya.

Hal ini kerana, katanya, episod perpisahan dengan bekas isteri itu menjadikan dirinya mula berubah sifat daripada seorang yang baran kepada insan lebih banyak erti sabar dan bertenang.

"Kalau dulu saya mengamuk tak kira tempat, pintu bilik air pun sampai tanggal. Maki jangan cakaplah, pisau pun pernah keluar, tapi Alhamdulillah, sekarang tak lagi.

"Saya tak ada dah buat semua itu. Kalau tak kerana Allah pisahkan kita tak mungkin saya berubah, tapi orang masih kata saya garang hanya kerana saya cakap 'tak faham ke?"," luahnya menerusi satu entri di Instagram Story miliknya.

Luahan tersebut merupakan respons kepada bekas isterinya yang sentiasa tidak pernah lupa untuk mengirimkan ucapan istimewa buatnya sempena hari ulang tahun kelahirannya yang diraikan setiap 21 Oktober.



Dalam ucapan tersebut, bekas isterinya yang dirahsiakan identiti itu mendoakan agar dirinya bertemu jodoh yang baik selain memintanya untuk tidak menjadi seorang yang baran.

"Saya tahu hari kelahiran awak 21/10, tapi tak salahkan saya jadi yang terawal bagi ucapan. Saya kerja, takut sibuk dan nanti lupa nak beri ucapan.

"Apapun, selamat hari lahir bekas suamiku yang sweet," tulisnya.

Sementara itu, Boy ketika dihubungi Astro Gempak mengakui bahawa wanita yang sempat menjadi isterinya untuk tempoh setahun itu sentiasa menjadi insan pertama yang melayangkan ucapan buatnya saban tahun.

"Tak beri hadiah, cuma dia akan sentiasa jadi orang pertama yang beri ucapan kepada saya.

"Alhamdulillah, saya baik-baik sahaja dengan dia. Bahkan, dengan keluarga pun kami baik," ujarnya yang memberitahu bekas isterinya itu juga sudah menemui calon suami sebagai pengganti.

Ditanya sama ada dia bakal hadir ke majlis perkahwinan bakal isterinya itu, kata Boy, ia sesuatu yang sukar untuk diputuskan.

"Insya-Allah, yang tu (hadir ke majlis) tak pasti, susah juga tu nak hadap," katanya.



Sebagai info, Boy merupakan finalis program realiti nyanyian Suara Viral yang pernah disiarkan di saluran Astro Prima.

Pada penganjuran program tersebut, Boy berjaya menduduki tempat ketiga.

BACA: "Ada Yang Ajak Borak Lucah" - Boy Suara Viral Dedah Diganggu Wanita

Sebagai info, Boy juga merupakan abang kepada penyanyi Sarah Fazny, bekas protege kepada penyanyi rock, Amy Search.