Penyanyi muda berbakat besar, Yonnyboii mencipta sejarah tersendiri apabila terlibat dalam penghasilan lagu Trust Again yang dicipta khas untuk filem terbaru Walt Disney iaitu Raya And The Last Dragon.

Lagu berkenaan hasil gabungan hebat Yonnyboii bersama tiga lagi artis serantau lain termasuk dari Indonesia, Filipina, Thailand dan Malaysia

Difahamkan, Trust Again pada dasarnya meraikan berbilang budaya yang membentuk rantau Asia Tenggara.

Menurut Yonny, menerusi lagu Trust Again dia ingin membuktikan bahawa dia mempunyai kebolehan untuk menulis lagu dalam bahasa Inggeris.

"Saya menggabungkan hidangan istimewa Malaysia seperti sate dan nasi lemak dalam baris pertama seperti yang diminta pihak Disney.

"Saya sudah lama mengimpikan saat ini untuk menunjukkan kemampuan dan bakat saya menulis lirik dalam bahasa Inggeris. Peluang ini hadir pada waktu yang tepat dan saya berharap lagu ini dapat diterima ramai," katanya.

Lebih menarik lagi, lagu ini juga mengandungi alat muzik etnik Asia Tenggara seperti Seruling, Perkusi Etnik, Bungkau atau Hap Rahang, Angklung, alat muzik tradisional dari Thailand, Gamelan dan Suling Sunda.

Mastering untuk lagu ini dibuat oleh Jurutera Mastering yang pernah memenangi Anugerah Grammy, Chris Athens.

Lagu ini akan dilancarkan bersama-sama dengan video lirik pada 12 Mac 2021, diikuti dengan video muzik yang menampilkan keempat-empat artis pada akhir bulan Mac 2021.

Sementara itu menerusi ruang komen, rata-rata peminat Yonny bangga apabila penyanyi itu mendapat perhatian pihak Walt Disney.

Rata-ratanya memuji kebolehan Yonny yang bukan saja menyanyi atau rap, malah turut mampu menghasilkan lagu bertaraf antarabangsa.

“Bukan biasa-biasa weh lagu filem Walt Disney kot”

“Dulu semua tak pandang, now makin power, steady Yonnie”

“Tabik lah bakat anak muda Malaysia,” tulis beberapa netizen.