"Dulu Saya Ditertawakan, Kini..." - Yazmin Aziz Kongsi Perasaan Menerusi Single Pertama

Kamaruddin Razal
Oktober 10, 2018 21:26 MYT
Penyanyi baru kacukan Malaysia dan Filipina, Yazmin Aziz tampil dengan single perdana yang berjudul Lihatlah.
Baru berusia 17 tahun, gadis ini mencurahkan emosi dan rasa hatinya menerusi single pertama yang berirama soul R&B.
"Lagu ini hasil kolaborasi saya bersama Vince Chong dan M Zulkifli. Saya meluahkan rasa hati dalam lagu ini. Pengalaman yang saya lalui saya ceritakan dalam Lihatlah.
"Membesar di Filipina, saya sudah terbiasa bercakap dalam bahasa Tagalog dan bahasa Inggeris. Selepas berpindah kembali ke Malaysia, saya menghadapi kesukaran bertutur dalam bahasa Melayu.
"Rakan-rakan sekolah mentertawakan saya kerana kelemahan itu. Saya mengakui ketika itu perasaan sedih menyelubungi diri. Namun begitu, saya telah mengatasinya dan membina keyakinan baru.
"Aktif dalam bidang muzik, saya sering menyertai pertandingan nyanyian dan memperbaiki kelemahan yang ada. Kini, saya muncul dengan single bahasa Melayu sendiri.
"Dulu saya ditertawakan, kini mereka memuji kesungguhan saya untuk memperbaiki kelemahan diri," kata Yazmin.
Bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun ini, Yazmin belajar membahagikan masa dengan baik antara kerjaya dan pelajaran.
"Bidang muzik memang menjadi minat saya manakala pelajaran tidak boleh saya lupakan dan letak ke tepi. Saya menyusun jadual sistematik agar semuanya teratur.
"Kini, saya mempunyai kalendar dan mencatatkan segalanya aktiviti yang perlu saya lunaskan agar semuanya berjalan lancar. Saya tidak akan melupakan pelajaran dan berusaha untuk membahagikan masa sebaik mungkin," katanya lagi.
#Penyanyi #Penyanyi #Yazmin Aziz