LAMAN UTAMA
“Dulu Saya Pernah Lalui Situasi Pahit, Tapi Saya Dah 'Move On'…” – Sophia Liana
Penyanyi rap Sophia Liana yang juga anggota kumpulan De Fam, menjadikan kisah pahit dalam hidupnya suatu ketika dulu sebagai inspirasi dalam single terbarunya.
Single terbaru berjudul Dulu yang dicipta sepenuhnya oleh Sophia dan Fadzril Asyraf itu cuba membawa pendengar memahami pengalaman masa lalu dan menerima apa yang terjadi dengan hati yang terbuka.
Dulu juga membawa mesej tentang pentingnya mencintai diri sendiri dan mengutamakan sahsiah diri dengan melepaskan masa lalu untuk terus bergerak maju ke hadapan.
“Dalam Dulu saya cuba menampilkan sesuatu yang berbeza dari apa yang pernah saya lakukan sebelum ini.
“Bukan sahaja penyampaian yang berbeza, malah ia juga lebih bersifat peribadi dalam menceritakan tentang perasaan saya dulu dan sekarang.
“Lagu ini diinspirasikan dari situasi pahit yang pernah saya lalui suatu masa dahulu. Apa yang saya cuba sampaikan dalam lagu ini adalah untuk maju terus ke depan, berhenti menoleh ke belakang. To move on is to let go of the past.
“Saya juga berharap lagu Dulu ini mendapat sambutan positif pendengar dan mesej yang cuba disampaikan dalam lagu ini, boleh membantu seseorang itu memahami bahawa perjalanan hidup mereka waktu dulu itu sudah pun berlalu.
“Dan yang penting adalah hidup mereka hari ini dan hari-hari mendatang,” kata juara Dansa Dansing ini kepada Gempak.
Lagu terbitan bersama Sophia Liana, Lion Music Group dan Universal Music Malaysia ini boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan juga Deezer.
Must-Watch Video