Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Ebit Lew Sebak 157 Orang Ucap Syahadah, Satu Kampung Masuk Islam - “Tiada Paksaan Mereka Semua Rela…”

Fiza Kamarudin
01/02/2021 00:08 MYT
Pendakwah terkenal, Ebit Lew berkongsi perasaan sebak apabila seramai 157 penduduk kampung mengucap syahadah di hadapan beliau.

Ebit yang ketika itu sedang menghantar bantuan kepada penduduk kampung di Pulau Tetagan, Semporna, Sabah berkata tiada paksaan terhadap mereka untuk memeluk agama Islam.

“Ya Allah menangis saya hari ini gembira. Seramai 157 orang mengucap syahadah. Satu kampung memeluk Islam petang ini. Semuanya dengan rela tanpa paksaan memeluk Islam.

“Mereka tiada kepercayaan agama. Dari suku Bajau Laut Semporna Sabah atau digelar gipsi laut. Mereka tinggal dalam bot atau pondok kecil atas laut.

“Saya ke sana untuk beri bantuan. Dengar mereka susah dan putus bekalan makanan. Mereka susah sangat. Bajau laut kumpulan manusia tanpa negara.

“Tengok anak kecil terus menangis. Berebut-rebut datang dekat saya. Mereka beri nama anak selepas setahun kerana risiko kematian tinggi untuk anak bawah setahun,” katanya.

Bercerita mengenai pengalaman tersebut, Ebit berkata sekumpulan penduduk kampung yang terdiri daripada etnik Bajau Laut tiba-tiba bertanya kepada beliau tentang tuhan.

Hati Ebit tersentuh apabila penduduk kampung memberitahu tidak pernah ada sesiapa terangkan tentang agama kepada mereka.

“Tiba-tiba ramai tanya saya siapa tuhan. Tuhan tu apa. Saya terus sebak. Saya dengan penterjemah tanya pernah tak sesiapa terangkan tentang agama. Mereka jawab tiada.

“Kami tak tahu. Tolong bagitahu kami. Saya terus sebak. Saya kumpulkan semua dikeliling bot tadi. Mereka semua terus percaya. Saya ajar mereka syahadah.

“Inilah hari paling sedih gembira dalam hidup saya. Terima kasih Allah,” tulisnya menerusi sebuah hantaran di laman sosial Instagram dan Facebook.

Dalam pada itu Ebit turut berazam untuk terus menghantar bantuan kepada penduduk di Pulau Tetagan kerana terkesan dengan keadaan mereka yang daif.

Ebit juga sedang menguruskan pembinaan sekolah dan sedang mencari ustaz untuk mengajar di kampung tersebut serta sedia membayar gaji mereka.

“Saya akan terus bantu makanan untuk seluruh kampung atas laut ini. Saya tengah urus untuk bina sekolah. Tengah cari guru ustaz untuk mengajar mereka. Saya akan bayar gaji guru-guru yang sedia mengajar disini,” katanya.

A post shared by Ebit Lew (@ebitlew)

#Ebit Lew #Semporna Sabah #Bajau Laut #Pulau Tetagan
;