Penceramah dan pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew bakal memulakan operasi pasar rayanya, Elews Mart Sabtu ini.

Menerusi tinjauan Gempak di Facebook, Ebit ada berkongsi beberapa barangan yang diberikan potongan harga sempena promosi pembukaan pasar raya tersebut.

Malah, potongan harga yang dibuat juga telah membuatkan ramai terkejut kerana ais krim Cornetto boleh didapati pada harga 10 sen sahaja.

Menurut Ebit, dia menawarkan potongan harga sebegitu kerana teringat akan kesusahan yang dialami suatu ketika dahulu.

"Buat saya teringat masa dulu, kerja petrol pam, ada orang selit RM2 dalam poket saya, senyum saya tak berhenti.

"Happy sangat boleh beli telur nak goreng, semua duit gaji bagi dekat mak di kampung. Mak tak tahu pun saya tiada duit lain.

"Besar RM2 itu untuk saya, walau sekali sekala saja dapat begitu tapi nikmat dalam hidup saya. Begitulah teringin nak buat semua orang senyum tanpa mengira bangsa,latar belakang siapa sahaja tak terkecuali, bila kita berkongsi niat hadiah rasa gembira sangat," tulisnya di Facebook.

Antara barangan lain yang boleh didapati dengan harga yang murah ketika hari pembukaan adalah minuman Nescafe, kicap dan lain-lain.

Walaubagaimanapun, penjualan setiap barangan dengan potongan harga tesebut dijual dalam kuantiti tertentu sahaja.


Menerusi laporan Gempak pada 24 Jun lalu, Ebit telah memaklumkan dia akan membuka 10 cawangan pasaraya.

Pada masa yang sama, dia turut memohon orang ramai untuk mendoakan kejayaan perniagaannya itu.

BACA : "Nak Bantu Mereka Walau Sedikit Tapi Berterusan"- Bakal Buka 10 Pasar Raya, Ustaz Ebit Lew Mohon Doakan Bisnesnya...