HIBURAN
Eda Ezrin Trauma Jejak Kaki Ke Thailand
Penyanyi wanita popular Kelantan, Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, mendedahkan dia trauma untuk menjejakkan kaki ke Thailand selepas berdepan detik hitam apabila ditahan selama sembilan bulan di Penjara Pusat Wilayah Narathiwat sebelum ini.
Ibu kepada dua cahaya mata itu, yang dibebaskan pada 6 Ogos lalu berkata, ujian hidup yang dialaminya meninggalkan kesan trauma yang sangat besar.
“Walaupun saya sudah kembali ke pangkuan keluarga, kesannya masih ada. Sebelum ini saya ke Thailand untuk membuat persembahan, bukan melancong semata-mata.
“Jika orang bertanya adakah saya akan ke sana selepas apa yang berlaku, sudah tentu saya katakan tidak,” katanya kepada pemberita pada Rabu.
Menurut Eda Ezrin, pengalaman berada di sebalik tirai besi juga mengajarnya erti sahabat sejati.
“Bila kita berada di penjara, baru kita sedar siapa kawan atau siapa sahabat. Bila berada di fasa terendah, tiada kawan datang melawat.
“Bermula dari situ, saya belajar, biar kawan sedikit asalkan berkualiti. Malah, apa yang berlaku sehingga saya berada di penjara pun berpunca daripada kawan atas kawan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Eda Ezrin bersama suami dan empat rakan dibebaskan dari Penjara Pusat Narathiwat selepas lebih sembilan bulan ditahan.
Mahkamah Thailand membuat keputusan itu selepas pihak pendakwa raya gagal mengemukakan saksi dan bukti untuk merayu kes berkenaan.
Sumber: Sinar Harian