Edisi Siasat Sudah Tidak Boleh Diakses
Saluran kontroversi platform Edisi Siasat dan Edisi Khas kini tidak lagi boleh diakses oleh orang awam menerusi aplikasi media sosial Telegram.
Kedua-dua saluran Telegram berkenaan tidak dapat diakses susulan amaran yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang menegaskan bahawa maklumat yang dipaparkan adalah bertentangan dengan undang-undang tempatan.
Semakan setakat jam 9 malam tadi mendapati segala maklumat dalam kedua-dua saluran Telegram tersebut sudah tidak boleh diakses, dengan satu peringatan dipaparkan kepada pengguna bahawa kandungan itu menyalahi kebenaran pihak berkuasa tempatan.
Terdahulu, media melaporkan bahawa SKMM telah memfailkan tindakan sivil terhadap dua saluran Telegram tersebut, iaitu Edisi Siasat dan Edisi Khas.
Kedua-dua saluran itu didapati menyebarkan kandungan yang berpotensi menghakis kepercayaan terhadap institusi awam negara serta menjejaskan ketenteraman masyarakat.
SKMM menjelaskan bahawa tindakan tegas diambil terhadap dua akaun media sosial itu kerana ia melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Saluran Edisi Siasat sebelum ini kerap berkongsi maklumat yang diperoleh daripada orang awam berkaitan kegiatan perjudian serta dakwaan amalan rasuah melibatkan anggota dan pegawai penguat kuasa.