Teman lelaki kepada usahawan kosmetik dalam buruan, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat, dilihat seperti sengaja mencetuskan provokasi apabila mengubah suai foto seorang pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jadoos atau Jad Issa telah memuat naik foto Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, di Instagram (IG) yang ditokok tambah dipercayai dengan niat mempersenda.

Foto Abd Jalil yang dimuat naik menerusi ruangan InstaStory itu telah dipakaikan topi berkipas, kaca mata hitam dan ditambah animasi pizza dan gelas pada tangan kanan dan kiri.

Sementara itu, memetik laporan Berita Harian, Abd Jalil beranggapan tindakan Jad Issa itu sebagai perkara lumrah yang dihadapinya sepanjang bertugas sebagai pegawai polis.

"Pada pandangan saya, ini semua asam garam dalam penugasan harian sebagai pegawai polis.

"Saya dan anggota lain dalam PDRM akan tabah menghadapi ujian ini dan akan melaksanakan penugasan berdasarkan undang-undang negara," katanya.

Media sejak semalam melaporkan tentang Sajat yang didakwa sudah selamat tiba di Australia.
Usahawan kosmetik terbabit turut memuat naik foto kononnya swafoto pertama di dalam pesawat dan sedang menuju ke negara tersebut.

Terkini, PDRM telah berhubung dengan pihak berkuasa Australia bagi mendapatkan pengesahan tentang dakwaan Sajat berada di negara itu.

Sehubungan itu PDRM tidak dapat mengesahkan keberadaan Sajat sehingga mendapat maklumat daripada kerajaan Australia.