Hiburan
Edry Bergerak Solo, Rakam Single Pertama Dengan Azmi Caliph Buskers
Selepas kejayaan demi kejayaan bersama KRU dan MOJO, komposer nombor satu Malaysia, Edry Abdul Halim kini bergerak sendiri.
Keputusan tersebut dilakukan Edry untuk mencari identiti muzik baru dan segar supaya dapat menghasilkan karya yang lebih bervariasi.
Berkebolehan bermain pelbagai jenis alat muzik, Edry tampil dengan projek ‘DD’ yang menggabungkan beliau dengan penyanyi undangan pilihannya untuk menyampaikan vokal setiap lagu dalam koleksi lagu-lagu ciptaan yang terbaru.
Single pertama berjudul ‘Ayah’ menampilkan Azmi Saat dari kumpulan Caliph Buskers menyumbangkan suara sebagai single pertama dari ‘DD’.
Mereka bakal tampil dengan gelaran ‘EDRY & AZMI’ bagi tujuan mempromosikan single ‘Ayah’ nanti.
“Ilham DD merupakan sebuah projek yang telah lama saya fikirkan untuk berkolaborasi dengan penyanyi undangan, sepertimana komposer antarabangsa sebelum ini seperti David Foster, Timbaland & Santana.
Ia membolehkan saya bebas menghasilkan lagu tanpa terikat dengan mana-mana konsep, dan membolehkan pengaruh dua hala di antara saya dan penyanyi.
"InshaAllah jika mendapat perhatian, saya akan teruskan konsep kolaborasi dengan ramai lagi artis lain pelbagai genre selepas ini” ujar Edry, yang juga lebih mesra dengan nama gelaran DD di kalangan ahli keluarga dan teman rapat.
Lagu ‘Ayah’ yang berkonsepkan balada klasik, akan mula berada di pasaran pada 3 April 2017 nanti.
Lirik video boleh ditonton menerusi YouTube KRU Music, manakala lagu boleh di dengari menerusi laman ‘streaming’ percuma seperti Spotify, Joox, Yonder dan juga boleh dimuat turun menerusi iTunes.
Bagi yang ingin memuat turun menjadi nada dering panggilan, boleh ikuti langkahnya di YouTube KRU Music.
Must-Watch Video