Modern tapi masih kontemporari! Itu mungkin gambar terbaik apabila menyaksikan pameran The Patung Project yang yang berlangsung di Pavilion Kuala Lumpur minggu lalu.

Hasil kerjasama Universiti Taylor's, Barbie Mattel dan Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) ini antara lain bertujuan untuk mempamerkan budaya dan warisan yang kaya di Malaysia, sekali gus memelihara seni daripada pelbagai etnik.

Menurut Pengarah Program Teknologi Reka Bentuk Fesyen, Universiti Taylor's, Maria Sandra Wijaya, pameran ini merupakan hasil ciptaan empat pelajar daripada semestar dua program Teknologi Reka Bentuk Fesyen.

Jelasnya, terdapat 12 anak patung Barbie yang menyarung rekaan fesyen daripada empat elemen utama termasuklah Nyonya ‘beading’, sulaman tekat, kaligrafi dan henna.

“Kerjasama antara Taylor’s University dan Barbie sebenarnya agak menarik kerana pada awalnya pihak kami mencadangkan idea ini kepada mereka dan agak terkejut mereka gembira dengan idea tersebut.

“Kita juga melihat bagaimana projek ini boleh jadikan koleksi Barbie turut diminati oleh golongan dewasa. Golongan ini lebih menggunakan ia sebagai koleksi mereka.

“Malah, kolaborasi bersama Barbie ini juga bakal berlangsung dalam tempoh jangka masa panjang. Banyak lagi yang bakal dihasilkan,” katanya.

Sementara itu, menurut seorang daripada pelajar yang menjayakan projek berkenaan iaitu Liu Pei Yi, koleksi yang ditampilkan mengambil inspirasi daripada kaligrafi tradisi kaum Cina.

“Idea reka bentuk ini merupakan hasil kombinasi elemen dan budaya kaligrafi Cina yang disatukan menjadi satu rekaan yang moden.

“Koleksi ini juga hasil kerjasama dengan seorang ‘calligrapher’ tempatan yang membantu saya untuk melukis kaligrafi Cina ini.

“Apa yang membuatkan koleksi ini lebih indah, setiap kaligrafi yang dihasilkan membawa makna puisi yang berlainan,” katanya yang berasal daripada China.

Apapun, anda boleh lihat kesemua koleksi menarik itu di bawah.