Buat julung kalinya WAFA Gallery akan menganjurkan Festival Paluan Gendang Malaysia & Tari Joget Pahang 2022 yang akan diadakan bermula Jumaat ini.

Festival ini diadakan bagi menyemarakkan lagi seni dan budaya melalui dana geran sepadan yang diberikan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kepada WAFA Gallery.

Menurut Pengarah Urusan WAFA Gallery, Syed Yusof Wafa, festival ini adalah percuma dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia.

“Diharap melalui penganjuran festival ini generasi baru akan lebih mengenali dan mencintai budaya peninggalan datuk nenek moyang yang sepatutnya dibanggakan dan bukannya dilupakan.

“Pada malam itu juga, pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan Raja Syair Nusantara, Roslan Madun yang akan menghiburkan penonton dengan dendangan syair serta lagu rakyatnya yang cukup popular sekarang ini iaitu, Lemak Manis.

“Komposer popular Kamrul Hussin atau lebih dikenali @waklong akan bertindak sebagai Pengarah muzik dan akan mempamerkan persembahan unik pukulan gendangnya.

“Manakala Izz Hairy pula bertindak sebagai pengarah persembahan.

“Penyanyi Jamilah Abu Bakar yang popular dengan lagu berirama tradisional, zapin dan keroncong akan tampil dengan lagu Sayang Di Sayang.

“Cikgu Meera atau nama sebenarnya Nur Ameera Nabila Azmi pula akan menghiburkan penonton dengan lagu Rindu Merindu.

“Mereka berdua juga akan berduet dan menyanyikan lagu Nirmala serta Kurik Kundi,” katanya.

Tambah Wafa lagi, dia berharap festival ini dapat menyemarakkan seni budaya serta menonjolkan keunikan seni pergendangan daripada pelbagai kaum yang terdapat di Malaysia selain memperkenalkan joget Pahang kepada golongan generasi muda.

“Ucapan terima kasih juga diucapkan kepada MOTAC yang menyediakan dana bagi penggiat seni untuk terus berkarya.

“Langkah ini juga dapat membantu mereka kembali aktif selepas dua tahun berhadapan dengan covid-19,” ujarnya.

Festival Paluan Gendang Malaysia & Tari Joget Pahang 2022 ini akkan berlangsung pada 28 hingga 30 Oktober 2022 bertempat di Menara Condong, Teluk Intan, Perak.

Festival ini turut mendapat kerjasama Persatuan Penulis Peminat Sastera Perak serta JKKN Perak bagi menjayakan Festival Paluan Gendang Malaysia & Tari Joget Pahang.

Bagi memeriahkan Festival ini, pertunjukan Buskers dan senamrobik juga turut diadakan.

Untuk menikmati makanan yang enak dan lazat, foodtruck juga turut berada disekitar kawasan Menara Condong, Teluk Intan.

Sebarang pertanyaan sila hubungi Kak Nafsiah Jani di talian 012-6488119.