Eizlan Yusof Respon Dakwaan Sertai Parti Politik Bawah PAS - "Buat Masa Ni Saya Hanya..."
Asyikin Mayudin
09/06/2023 05:25 MYT
09/06/2023 05:25 MYT
Tular beberapa foto pelakon dan pengarah, Datuk Seri Eizlan Yusof, bersama beberapa figura politik dari PN dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muafakat Nasional (MN) terutama Pengerusi MN, Tan Sri Annuar Musa, sejak beberapa minggu lalu.
Eizlan, 51, yang pernah bertanding kerusi parlimen Sabak Bernam mewakili Parti Pejuang pada PRU15 lalu, dipercayai bakal menyertai Perikatan Nasional (PN) di bawah tiket Parti Islam Semalaysia (PAS).
Terbaharu, pelakon itu dilihat menerima kad keahlian Kelab Motosikal Alternative Rising Club (ARC), juga merupakan kelab motosikal yang ditubuhkan di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).
“Saya tak nak komen apa-apa mengenai perkara itu (masuk PAS). Tunggu saja pengumuman berkaitan sekiranya perkara itu benar-benar berlaku.
“Buat masa ini saya hanya menjalankan tanggung jawab kerana diberi kepercayaan oleh Tan Sri Annuar untuk bersama MN yang berperanan sebagai platform NGO untuk melaksanakan program dan aktiviti ke arah kemuafakatan, perpaduan dan tanpa bersifat perkauman,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Negeri Selangor Muafakat Nasional (MN), berkata jiwa NGO yang ada dalam dirinya melihat Pengerusi MN itu benar-benar serius untuk mempromosikan perpaduan ummah selain menjunjung keutuhan sistem politik negara yang lebih baik.
NGO baharu ini mula membuka keahlian kepada orang ramai mulai 10 Disember 2022 dan keahliannya telah mencecah lebih 100,000 orang.
Annuar sebelum ini dilaporkan berkata, pertubuhan itu kekal sebagai sebuah NGO dan tidak terbabit dalam gerakan politik.
Pada Mei lalu, Annuar mengesahkan akan menyertai PAS dan tidak menolak untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.