Anggota kumpulan rap K-Clique, Tuju mendedahkan dirinya sudah membuat satu laporan polis ekoran beberapa status berbaur fitnah dan mengaibkan namanya di laman sosial.

Menerusi sebuah kenyataan yang diberikan kepada pihak media, Tuju atau nama sebenarnya, Muhammad Azree Shah Awang Zamri, 24, enggan memberikan komen lanjut mengenai isu yang sedang hangat diperkatakan.

Berikut merupakan kenyataan media yang diberikan oleh Tuju:

"Pada dua hari lepas, saya mendapat tahu mengenai status yang dimuat naik oleh seseorang yang saya kenali.

"Saya enggan memberikan komen yang lebih lanjut untuk tidak memudaratkan keadaan. Walaubagaimanapun, sebagai salah seorang yang dikenali di dalam industri hiburan tanah air, saya akui saya perlu memberikan respon terhadap isu tersebut, namun saya ingin meminta jasa baik semua agar bersikap rasional terhadap apa yang telah terjadi.

"Sejak dua hari lepas juga ramai pihak yang telah menghubungi saya terutama pihak media dan juga rakan-rakan dan saya memohon ampun dan maaf kerana tidak dapat memberikan respon atas sebab-sebab yang tertentu.

"Buat masa ini saya ingin fokus kepada karier saya yang kini dalam proses untuk menghasilkan album solo dan juga lagu bersama K-Clique.

"Kini, saya mengambil inisiatif dengan menyahut seruan kerajaan untuk duduk di rumah dan menghasilkan lebih banyak lagu untuk para peminat khususnya.

"Untuk makluman, pada hari ini juga, satu laporan polis telah dibuat untuk menyiasat beberapa status yang dimuat naik di media sosial yang berbaur fitnah dan mengaibkan nama saya.

"Saya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kebenaran dan mendoakan agar segala kesulitan dipermudahkan Allah dan Malaysia dihindari sepenuhnya dari wabak COVID-19."


Semenjak beberapa hari lalu, Tuju didakwa telah memukul teman wanitanya yang juga seorang penyanyi, Loca B.

BACA: "Genggam Tangan Sampai Lebam, Cekik Pernah, Ugut Pernah, Kena Heret Pernah .." - Loca B Dedah Sikap Panas Baran Tuju K-Clique

Pendedahan itu dibuat sendiri oleh Loca di Instagram Stories miliknya dengan menunjukkan kecederaan yang dialami di bahagian tangannya.