Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

[Eksklusif] Dana FINAS Tidak Diberikan Secara Telus Pada Penggiat Seni, Produser Jumpa Pegawai Atasan Kerajaan Di Hotel

Elrafaei Sapi
01/06/2018 07:56 MYT
Isu ketirisan dana yang disalurkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) kepada penggiat seni bukan perkara baru yang sepatutnya diselindungkan.

Sumber mendakwa pemberian dana ini tidak dijalankan secara telus mengikut sistem yang adil.

Malah, wujud campur tangan pihak atasan di peringkat Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta FINAS sendiri yang 'meluluskan' dana tersebut sehingga ada syarikat produksi dan pemohon individu yang difikirkan layak mendapat dana terpaksa berputih mata.

"Isu ini memang benar berlaku. Apabila pihak atasan di kementerian ‘kacau’, pemohonan dana kategori pembangunan dan produksi yang lulus tahap 1 (Lambak) tetapi tidak dibawa ke tahap 2 (Penilaian) apatah lagi ke tahap 3 (Kelulusan)," katanya secara eksklusif kepada Astro Gempak.

Akuinya, elemen 'personal interest' dalam kalangan segelintir pemimpin persatuan-persatuan hiburan juga sukar dielakkan meskipun pada awalnya, golongan ini menyatakan hasrat mahu membantu ahli tapi akhirnya membolot dana FINAS untuk diri sendiri.

"Campur tangan ahli politik ini berlaku dalam projek menerima dana atau diberikan secara langsung.

"Isu sebegini menimbulkan rasa tidak puas hati pada penggiat seni lain dan ahli persatuan cuma setakat mana suara mereka ini didengar berbanding pemimpin persatuan yang lebih dekat dengan menteri dan pihak pengurusan atasan," katanya.

Sumber itu menjelaskan proses permohonan dana ini pada awalnya tidak menjadi masalah kerana ia dilaksanakan mantan Ketua Pengarah FINAS, Datuk Kamil Othman mengikut formula, Sistem Penilaian di Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDec) iaitu mempunyai peringkat pembangunan dan produksi.

"Produser yang berhasrat menghantar permohonan dana ini terlebih dulu diberi penerangan sebelum menyediakan dokumen yang diperlukan. Namun, proses ini kemudian menjadi anti-klimaks apabila orang tidak berkaitan dapat dana sama ada menerusi 'kabel' manakala ada permohonan lain berdepan status tergantung dan hilang," katanya.

Apa yang jadi kemusykilan, beliau menyatakan terdapat rungutan pemohonan yang dikatakan mendapat skor tinggi tetapi tidak pernah dipanggil untuk proses seterusnya.

"Apabila dirujuk kepada pegawai bertugas, anehnya laporan pemarkahan malahan borang pemohonan pun kononnya gagal dikesan.

"Situasi yang berlaku tidak telus sehingga ada pihak yang minta komisen. Malah, ada produser berjumpa dengan orang atasan FINAS di hotel atau kafe," dakwanya lagi.

Jelasnya, filem cereka menjadi kategori dana paling popular yang banyak dimohon diikuti dokumentari, Public Service Announcement (PSA), filem pendek dan sebagainya.

Beliau berharap FINAS akan menjadi badan kerajaan yang lebih bebas di bawah pemerintahan kerajaan baru, Pakatan Harapan.

"FINAS masih relevan untuk terus wujud dalam industri cuma 'governance' perlu lebih telus. Jika berlaku situasi macam ini, perubahan perlu dilakukan dengan mencari punca dan memperbetulkannya," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi
#MDEC #FINAS #Kamil Othman
;