Allah Maha Kuasa! Pemergian Allahyarham Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan atau Abam Bocey pada 10 Februari lalu masih membekaskan kesan kepada balu arwah, Nor Hidayah.

EKSKLUSIF: "Kalau Abang Takda Jaga Diri & Anak" - Isteri Abam Bocey Dedah 10 Tanda Sebelum Meninggal Dunia

Namun, dalam kesedihan Allah menggantikan kasih sayang yang telah hilang dari keluarga tiga beranak itu kepada seekor kucing yang diberi nama Kembang.

Kucing betina berwarna kelabu cerah itu muncul bersama seekor lagi kucing berwarna putih pada hari kematian Abam di kediaman mereka di Gombak.

"Selepas Abam meninggal hari yang sama juga dua ekor kucing datang ke rumah. Berpusing-pusing akhirnya masuk dalam bilik dan tidur di tempat Abam," dedah Hidayah.

Tambah Hidayah, 28, bagaimanapun salah seekor daripadanya hilang sebelum dia pulang ke rumah keluarganya di Sabak Bernam baru-baru ini.

"Jadi tinggallah Kembang seekor buat peneman Hamzah. Dia seakan-akan faham perasaan Hamzah.

"Setiap kali kalau terdengar Hamzah menangis dia akan datang bergesel-gesel seolah-olah tenangkan Hamzah sampailah berhenti menangis.

"Kadang-kadang apabila saya menjenguk semula keadaan Hamzah, dia sudah tertidur dengan Kembang," ceritanya lanjut.

Di sebalik kisah setianya Kembang kepada Hamzah, Hidayah memberitahu kucing itu mirip seekor kucing dari baka luar negara yang diidamkan arwah suaminya sebelum meninggal dunia.

"Pada hari Rabu sebelum arwah pergi dia ada menyatakan mahu membeli seekor kucing bulu lebat.

"Katanya kepada saya; 'Bila saya tak ada nanti sayang boleh main-main dengan kucing'. Saya anggap itu jenaka Abam semata-mata.

"Namun, sebaik-saja pemergian Abam, Kembang datang ke rumah dan saya dapat tahu warnanya sama seperti yang Abam mahukan sebelum itu," getus Hidayah lagi.

Abam meninggal dunia pada 10 Februari lalu selepas menghidap demam panas.

BACA: “Saya Kini Hanya Mahu....”- Isteri Abam Bocey Dedah Perancangan Masa Depan

Al-fatihah (dibaca). Semoga arwah Abam ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.