Pengantin baru, pelakon Eyra Hazali dan pemain bola sepak Muhammad Haziq Nadzli tidak mahu terpengaruh dengan pandangan sesetengah pihak yang mempersoalkan mengenai keputusan individu yang bernikah di usia muda.

Kedua-dua pasangan itu sebaliknya mengambil pendekatan untuk meneruskan prinsip yang dipegang oleh mereka selama ini.

Menurut Eyra, tidak dinafikan orang ramai agak skeptikal dengan perkahwinan di usia muda.

"Namun kita tidak boleh bergantung sepenuhnya apa yang orang cakap. Jika rasa tak okay itu, mungkin itu adalah hubungan mereka.

"Apa yang penting kita kenal satu sama lain dan tahu nak selesaikan situasi, kita nak gembira bersama," katanya.

Sementara itu menurut Haziq, dia percaya segala keputusan dan kehendak untuk berkahwin di usia muda terletak pada diri sendiri.

"Kawan-kawan ada juga kata ok dan tidak kurang juga kata tak sesuai. Tapi kami ambil jalan penyelesaian untuk nikah tahun ni juga," katanya yang merupakan penjaga gol skuad bola sepak bawah 23 tahun negara.

Kedua-dua pasangan itu selamat diijabkabulkan di Masjid As-Syakirin KLCC, kira-kira jam 9.35 malam, Sabtu lalu.

BACA: Tahniah... Eyra Hazali Kini Isteri Haziq Nadzli!

Pelakon yang popular menerusi drama Mr Grey itu sah menjadi isteri Haziq selepas dinikahkan oleh bapanya, Hazali Ramli, disaksikan Pendaftar Bahagian Perkahwinan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Abdul Jamel Jaafar.