Pengacara Eleena Sui mengakui dia terpaksa mengorbankan kerjaya seninya demi berhijrah mengikuti suami, Ahmad Faisya Datuk Mohd Bustaman.

Eleena, 26, bakal berpindah mengikut suaminya bekerja dan menetap di luar Malaysia pada September ini.

"Sebenarnya, berita mengenai perpindahan ini sudah lama saya ketahui, cuma ketika itu belum ada kepastian lagi.

"Bila sudah pasti mengenai kesahihan perpindahan itu, saya menangis sebab tak tahu keputusan yang perlu saya buat.

"Walaupun baru setahun jagung dalam industri ini, saya merelakan diri untuk melepaskan kerjaya kerana tempat seorang isteri di sisi suaminya," katanya.

Tambah pelakon drama bersiri Suri Hati Mr. Pilot ini, jika satu hari nanti dia menerima tawaran yang menarik sama ada dari segi pengacaraan ataupun lakonan, Eleena akan kembali ke Malaysia.

"Saya akan pertimbangkan untuk kembali jika mendapat tawaran yang menarik dari segi skrip dan jadual.

"Bagi saya, apa yang penting, kita lakukan kerja yang kita suka bukan hanya semata kerana duit," katanya kepada Gempak.

Eleena atau nama sebenarnya Nor Eleena Hamzah berkata, dia mengharapkan peminat-peminat seni hiburan tidak melupakan kedatangannya walaupun hanya sempat bertahan sekejap sahaja dalam industri.

Model tinggi lampai ini juga sentiasa memohon peminat agar mendoakan yang terbaik buat dirinya.

Eleena dan suaminya telah mendirikan rumah tangga pada 4 Februari 2017.


Teks: Noor Zulaikha Yusof