Elizabeth Tan Dedah Alami Tompokan Botak Di Kepala- "Saya Tak Mahu Orang Kasihan..."
Syafiqah Jalal
25/11/2022 07:25 MYT
25/11/2022 07:25 MYT
Pelakon dan penyanyi Elizabeth Tan akui kurang keyakinan diri selama ini apabila mendedahkan menghadapi masalah alopecia atau keguguran rambut kritikal akibat penyakit autoimun.
Menurut Elizabeth atau lebih mesra dengan panggilan Lizzy, alopesia yang dihadapi semenjak 2018 itu telah menyebabkan kepalanya bertompok botak.
"Sebenarnya saya alami autoimun sejak berusia setahun yang menyebabkan saya menghadapi masalah kulit.
"Pada 2018, autoimun pula menjadi penyebab saya mengalami alopesia. Akibatnya saya mengalami tompokan botak di rambut dan kadang-kadang ia merebak menjadi lebih besar.
"Masalah ini tiada penyembuh, jadi saya hanya bergantung kepada krim steroid untuk menghentikan tompokan botak itu merebak. Sehingga kini, sudah 12 kali alopesia terjadi," katanya kepada Astro Gempak.
Lizzy ditemui ketika sidang media Festival Filem Malaysia ke-32 di Hotel Swiss Garden, Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Kata Lizzy, terdahulu dia tidak mendedahkan penyakit yang dialami sebelum ini kerana enggan meraih simpati orang ramai.
"Memang sebelum ini saya tidak pernah mendedahkan perkara itu kepada orang ramai atau media sosial terutamanya peminat.
"Mana tidaknya, setiap kali tompokan botak baru timbul, saya rasa sedih dan tertekan.
"Saya tak mahu orang rasa kasihan dengan penyakit yang saya alami. Tetapi, saya rasa sudah tiba masanya saya beritahu orang mengenai perkara ini," ujarnya.
Justeru, Lizzy terpaksa menolak tawaran lakonan yang memerlukannya untuk memotong rambutnya pendek.
"Saya pun baru sahaja menolak tawaran untuk membintangi sebuah filem yang memerlukan saya memotong rambut seperti lelaki.
"Saya takut rambut lambat tumbuh dan alopesia kembali menyerang selepas saya memotong rambut," katanya.