Pelakon jelita Elizad Sharifuddin selesa berkerjasama dengan aktor baru, Fadlan Hazim dalam drama bersiri Papa Ricky.

Sebagai seorang aktres yang sudah lama terlibat dalam bidang lakonan, Elizad senang dengan sifat Fadlan yang tidak malu untuk bertanya.

“Saya selesa bekerja dengan bakat baru seperti Fadlan. Dia merupakan seorang aktor yang banyak bertanya dan suka untuk belajar sesuatu yang baru.

“Saya gembira apabila dia menunjukkan sifat sebegitu dan rasa sangat mudah untuk berkongsi pengalaman dengan Fadlan,” kata Elizad kepada Astro Gempak.

Mengimbau kembali profil seninya yang bermula pada tahun 2004, Elizad mula mengasah bakat lakonan bersama aktor terkemuka, Datuk Rosyam Nor menerusi filem Berlari Ke Langit.

“Selain Fadlan, ramai lagi pelakon baru di set penggambaran Papa Ricky. Saya gembira berlakon bersama mereka kerana mereka suka belajar.

“Saya masih ingat waktu saya mula-mula mahu merangkak dalam bidang lakonan dan filem pertama saya sudah bergandingan bersama Rosyam. Saya banyak belajar dan memerhatikan segala apa yang dilakukan. Saya kagum dengan bakat mereka.

“Saya sendiri sudah lama merangkak untuk ke tahap sekarang. Saya akan berusaha sehabis daya untuk memastikan setiap aksi lakonan saya memberikan impak.

“Pelakon baru harus mencontohi pelakon-pelakon senior yang lebih berpengalaman. Jika seorang bakat baru itu masuk ke lokasi penggambaran dengan persediaan secukupnya, pasti semuanya akan berjalan lancar.

“Jika mereka tidak bersedia, pasti orang lain akan marah. Mereka harus rajin belajar dan menghargai skrip sebagai salah satu naskah rujukan untuk menjayakan watak dengan berkesan,” katanya lagi.

Drama bersiri Papa Ricky lakonan Elizad bersama Fadlan Hazim, Ewal, Hafizul Kamal dan ramai lagi ini bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang di Astro Prima (saluran 105) dan Maya HD (saluran 135).

Teks oleh: Kamaruddin Razal