Ella, Hujan, Bunkface, Gerhana Ska Cinta & K-Clique Bakal Gamatkan Konsert Haus Boom Music 2019

Kamaruddin Razal
Oktober 15, 2019 15:00 MYT
Barisan penyanyi dan kumpulan muzik popular seperti Ella, Hujan, Bunkface, Gerhana Ska Cinta, K-Clique, Pop Shuvit dan Budak Nakal Hujung Simpang bakal memeriahkan Konsert Haus Boom Music 2019 yang bakal diadakan pada 10 November ini.
Menggabungkan pelbagai jenis genre muzik seperti hip hop, rock, reggae serta ska dalam satu persembahan, Konsert Haus Boom Music 2019 bakal diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC), Seri Kembangan bermula dari 4 petang sehingga 10 malam.
Menurut penganjurnya, Azri Zahier Azmi, konsert ini menggabungkan kepelbagaian genre muzik untuk menarik minat ramai pengunjung.
"Kami menghimpunkan nama-nama besar yang berjaya mempunyai tapak yang kuat dalam genre muzik mereka tersendiri seperti Ella, Hujan, Bunkface, Gerhana Ska Cinta, K-Clique, Pop Shuvit dan Budak Nakal Hujung Simpang kerana mahukan kelainan.
"Ia bakal menarik lebih ramai peminat untuk menghargai inudstri muzik tempatan. Kami juga tidak mengenakan caj bayaran yang mahal kepada mereka yang ingin berkunjung kerana kami mensasarkan konsert ini boleh menarik seramai 7,000 penonton," katanya.
Tambah Azri yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif jenama minuman Hausboom, dia berharap konsert ini dapat mencetuskan fenomena.
"Kami pernah menganjurkan Hasuboom Music pada 2018 tetapi untuk edisi kali ini, skalanya lebih besar. Kami berharap orang ramai dapat sama-sama menyaksikan konsert ini kerana kami berjanji mahu memberikan hiburan yang menarik untuk dinikmati orang ramai," katanya lagi.
Konsert Haus Boom Music 2019 bakal diadakan pada 10 November ini di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC), Seri Kembangan bermula dari 4 petang sehingga 10 malam.
Harga jualan tiket bermula dari RM30 (Early Bird), RM60 (Pintu Masuk) dan RM100 (RockZone).
Tiket akan dibuka untuk jualan hanya melalui aplikasi TicketApps bermula Jumaat, 18 Oktober ini.
#Konsert Haus Boom Music 2019