Penyanyi dan ratu rock negara, Ella menafikan bahawa konsert Ella Unplugged In Kuala Lumpur adalah persembahan terakhir dalam kerjaya seninya.

Menurut Ella, dia masih mempunyai pelbagai rancangan untuk mengadakan konsert unplugged selepas ini di luar Kuala Lumpur.

"Ini bukan merupakan konsert terakhir saya dalam industri hiburan malah ia merupakan langkah pertama untuk saya lakukan lebih banyak konsert tour selepas ini.

"Ini merupakan kali pertama konsert secara unplugged sepenuhnya yang akan dijayakan oleh saya dan beberapa gabungan dengan organisasi di luar.

"Pada konsert kali ini saya akan bawakan lagu bergenre Asli dan lagu-lagu popular saya khas buat semua yang hadir pada konsert tersebut.

"Sejujurnya, lagu Asli adalah karya unik yang sentiasa enak didengar dan dimainkan kerana saya mahu generasi muda menghargai muzik serta lagu-lagu seperti ini," katanya kepada Gempak.

Ella berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media konsert Ella Unplugged In Kuala Lumpur di Matic, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam konsert berdurasi satu jam 30 minit yang akan berlangsung di Istana Budaya, Ella akan menyampaikan 20 lagu termasuk tiga lagu Asli.

Orang ramai yang ingin dapatkan tiket konsert Ella Unplugged In Kuala Lumpur boleh layari laman web www.proticket.com.my.

Harga tiket dijual pada RM179 hingga RM519.