Pelakon Ellie Suriaty masih menunggu kedatangan Dr Azra, iaitu kekasih kepada bekas suaminya untuk datang dan bertemu dengan anak-anak.

Menurut Ellie, jika seseorang mahu berada dalam hidup bekas suami, aktor Azri Iskandar, individu berkenaan perlulah jujur tentangnya.

“Bagi saya, kalau sesiapa yang nak ada relationship dengan Azri, be honest about it. Saya dah kata sebelum ini, be real. Kenapa tak muncul lagi?

“Has to be real, kenali anak-anak saya, kenali anak-anak tiri saya… Kalau dia nak masuk dalam hidup Azri. Jadi, saya doa kepada Allah SWT supaya Azri dikurniakan isteri yang baik dan akan menjaganya juga dengan baik,” kata Ellie kepada Gempak ketika Majlis Tayangan Drama-Drama Baharu Astro di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur semalam.

Pada acara berkenaan, Astro memperkenalkan drama baharu seperti Bukan Cinta Sempurna, Budak Hostel Otaknya Sewel dan Tanah Kubur Siri 16.

Menerusi acara yang sama, Azri ‘disatukan’ buat kali pertama dengan Ellie memandangkan kedua-duanya membintangi drama Tanah Kubur tetapi berlainan episod.

Dalam pada itu, Ellie turut membalas kenyataan Azri yang berniat untuk menjemput dirinya ke majlis resepsi jika dia dan Dr Azra disatukan kelak.

“Kalau ada ada resepsi, saya akan pergi. Sebab wedding kan? Lagipun, kita dah hidup 19 tahun bersama. Tak ada benda pun nak bermusuhan. Apa nak benci? Dia hanya hamba Allah dan kami berdua tidak sempurna.

“Jodoh dah sampai situ, jadi perlu ke kita bermusuh? Tak payahlah. Bila dia bertemu jodoh dengan orang lain yang lebih baik daripada saya, sudah tentu saya akan meraikan hari besar dia,” katanya.

Untuk rekod, Ellie dan Azri atau Azri Iskandar Zulkiffly, 55, bercerai talak satu pada 17 Mei tahun lalu.

Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Azrell Omar, 18, dan Nur Azreen, 14 tahun.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Azri juga dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Afiq Iskandar, 31, Farah Qistina, 29 dan Nur Anis Mastura, 27 tahun.

BACA: "Cinta Kami Masih Utuh!" - Azri Iskandar, Azra Diera Akan Kahwin Cuti Sekolah Hujung Tahun Ini

BACA: “Kami Sedang Bahagia”- Nafi Kena Love Scam, Azri Iskandar Dah Tunang Bakal Kahwin Dr. Azra Tak Lama Lagi​