Penyanyi dan selebriti YouTube terkenal, Elvin Romeo tampil mempertaruhkan single kedua berjudul Kosong.

Single ini merupakan hasil ciptaan Jonathan Tse dan liriknya ditulis bersama penyanyi ini sendiri.

Elvin terus menyuntik elemen ‘easy listening’ dalam karya ini sebagaimana dirinya yang dikenali dengan genre muzik 'indie folk' sebelum ini.

Jika sebelum ini peminat telah mendengar nyanyian Elvin yang ceria, kali ini, single Kosong ini akan menampilkan cara nyanyian yang berbeza kerana disampaikan dengan penuh penghayatan emosi.

“Saya mahu lagu ini benar-benar menggambarkan betapa kosongnya hati saya sekarang akibat cinta yang tidak kesampaian. Bukan mudah untuk mengembalikan semangat diri apabila dikecewakan dalam cinta.

“Jujur, tiada satu hari pun saya rasa tidak bersendirian selepas mengalami situasi ini sendiri.

"Andai saja saya mampu memutarkan masa, saya ingin kembali menikmati hari-hari penuh bahagia dengan gadis yang saya cintai itu,” kata Elvin.



Tahun lalu, jejaka ini pernah tampil dengan single sulungnya berjudul Falling in Love di mana video muziknya di YouTube berjaya mendapat lebih 87,000 tontonan.

Rata-rata komen dan reaksi diterima juga membuktikan lagunya diterima dengan baik.

Single Kosong kini boleh didapati di iTunes, Apple Music, Deezer, JOOX, KKBOX dan Spotify, manakala muzik video rasmi lagu ini juga sudah boleh ditonton di YouTube.