Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Laman Utama

Emeer Bakri Tidak Akan Buat Marketing Mengarut Demi Naikkan Nama Sebagai Penyanyi - “Itu Bukan Cara Saya”

Izwan Isa 13/06/2022 | 12:50 MYT

Penyanyi Emeer Bakri mengakui tidak tertarik untuk menggunakan teknik pemasaran atau gimik yang bakal memperlihatkan kebodohan dirinya sendiri semata-mata untuk diingati oleh netizen.

Emeer berkata, dia memilih untuk memperkenalkan dirinya dengan cara yang lebih molek agar bakatnya sebagai seorang anak seni dan single baharunya, Fantasia dapat dihargai oleh setiap lapisan masyarakat.
“Sebenarnya tak salah untuk lakukan sebarang teknik pemasaran. Tetapi janganlah sampai diri sendiri dilihat sebagai kurang profesional.
“Saya sendiri malu untuk menari dan bergelek di TikTok… saya tidak selesa. Sebab jujurnya saya segan nak buat benda-benda macsam tu sebab ia akan kelihatan pelik nanti.
“Bila difikirkan balik, itu bukan cara saya. Sebab cara saya untuk promosikan lagu bukan seperti itu,” katanya kepada Gempak.
Melanjutkan bicara, Emeer yang pernah menjuarai sebuah program pencarian bakat ketika usianya masih belasan tahun itu berharap agar percubaannya kali ini membuahkan hasil.
Ujar Emeer, sungguhpun pernah ‘kecundang’ sebanyak dua kali sebelum ini, namun, dia masih lagi positif dengan bidang seni tanah air dan mahu memperjuangkan cita-citanya sebagai seorang penyanyi.
“Sejak menyertai dua pertandingan nyanyian, saya ada lancarkan dua buah single. Namun, kedua-dua single tersebut tidak menjadi.
“Tetapi, saya tidak akan pernah berputus asa. Saya harap dengan adanya single Fantasia ini dan teknik pemasaran yang betul menerusi Armani Entertainment Group, kerjaya nyanyian saya akan diberi perhatian, insya-Allah,” katanya lagi.
Sudah boleh distrim di semua pelantar digital, Fantasia juga dijadikan sebagai runut bunyi drama bersiri Setelah Terlafaznya Akad 2 yang kini sedang ditayangkan di Astro Ria.

#Setelah Terlafaznya Akad 2 #Emeer Bakri #Fantasia
;