Bintang rap Eminem mengejutkan peminat apabila muncul menghidangkan makanan di restoran miliknya, Mom's Spaghetti.

Eminem atau nama sebenarnya Marshall Mathers dilihat berbuat demikian di sebuah tingkap untuk menghulur makanan yang dipesan oleh pelanggan.

Perkara itu membuatkan orang ramai terkejut dan berkongsi keterujaan di media sosial.

Mom's Spaghetti yang dibuka secara rasmi pada Rabu (29 September) terletak di Detroit, sebuah bandar di Michigan, Amerika Syarikat. Ia merupakan tempat dimana rapper kegilaan ramai itu berasal.

Menerusi tinjauan Gempak, menu yang ditawarkan di restoran berkenaan adalah berkaitan dengan spaghetti yang hadir dengan pelbagai variasi seperti bebola daging dan sandwich. Harga jualan pula bermula pada AS$ 9 (sekitar RM37).

Terdahulu, Eminem pernah membawa produk jenamanya itu ke festival Coachella pada tahun 2018.

Dalam perkembangan lain, Eminem akan muncul dalam siri drama berjudul BMF: Black Mafia Family sebagai 'White Boy Rick' yang dijangka menemui penonton bulan hadapan.

Sumber: yahoo! news
Foto: CNN