Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Hiburan

Emma Maembong Kenal ‘Abang Pilot’ Masa Birthday Uqasha Senrose

Fiza Kamarudin 20/02/2020 | 06:18 MYT
Pelakon Emma Maembong yang bergelar isteri kepada juruterbang, Muhammad Shazli Azhar, pagi tadi berkongsi rahsia mengenai detik perkenalannya dengan suami.
Emma berkata, mereka bersua buat kali pertama pada tahun 2017 ketika menghadiri majlis sambutan ulang tahun Uqasha Senrose.
Namun ketika itu mereka hanya berborak kosong dan tidak pernah menjangkakan ada detik istimewa yang diraih selepas itu.
“Sehari selepas itu dia (suami) sebenarnya ada menghantar mesej di Instagram (IG), tapi tidak disedari saya.
“Setahun lepas tu baru saya perasan mesej dia. Ketika itu kami hanya berbalas mesej biasa termasuk bercakap soal kucing. Perbualan itu berakhir begitu saja.
“Dipendekkan cerita pada 15 Julai tahun lalu, kami berhubungan semula di IG. Kali ini proses itu lebih jelas dan masing-masing bertukar nombor telefon.
“Seminggu selepas itu, dia mahu jadikan saya sebagai kekasihnya. Seminggu seterusnya pula, dia bersungguh-sungguh mahu menjadikan saya sebagai isterinya,” katanya.
Tambah Emma lagi, sikap dan kesungguhan serta keberanian suami antara yang memikat hatinya.
“Dia tak nak buang masa dalam hubungan kami. Macam tak percaya tapi semuanya bagai tersusun cantik.
“Selain sikap dan kesungguhan, dia juga lelaki yang matang, mementingkan keluarga dan agama.
“Selepas dua bulan mengenali diri masing-masing, kami sepakat menghalalkan hubungan ini. Pada 11 Oktober lalu, keluarganya datang merisik di rumah keluarga saya,” katanya.
Sementara itu, bagi Muhammad Shazli kecantikan semula jadi Emma dan sangat rajin bekerja memikat hatinya.
“Dia mempunyai hati yang baik. Dia tahu apa yang diinginkan dalam hidupnya selain mengutamakan keluarganya. Dia sangat tegas dalam soal membuat keputusan.
“Malah saya melihat dia juga jenis yang ada ramai kawan, namun memilih yang betul-betul boleh rapat dengannya,” kata jejaka yang membesar di Selangor itu.
Ditanya mengenai destinasi berbulan madu, Emma dan suami mengakui belum merancang mengenainya.
Emma dan Shazli juga tidak menolak jika dikurniakan anak secepat mungkin.
Pada 6 Mac depan, majlis berinai akan diadakan dan sehari selepas itu pasangan ini akan diraikan dalam sebuah majlis resepsi di Putrajaya.
#Kahwin #Emma Maembong #Kahwin #Emma Maembong
;