Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Hiburan

Emma Maembong Sah Bergelar Isteri

Fiza Kamarudin 20/02/2020 | 04:25 MYT
Dengan sekali lafaz, pelakon popular Emma Maembong sah bernikah dengan lelaki pilihan hatinya , Mohamad Shazli Azhar, kira-kira jam 11.58 pagi tadi.
Majlis pernikahan Emma atau nama sebenarya Fatimah Rohani dan Syazli yang berlangsung di Dunia Melayu, Bukit Damansara itu dihadiri ahli keluarga dan sahabat terdekat kedua-dua pasangan.
Pengantin lelaki telah membawa mas kahwin sebanyak RM2,000 dan senaskah Al-Quran kepada pihak perempuan.
Pasangan dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohamad Akmal Abdul Aziz.
Majlis tersebut turut disiarkan secara langsung menerusi video yang dirakam kakak Emma, dikenali sebagai Beby Maembong di laman sosial Instagram (IG)nya.
Beby membuat rakaman secara langsung sekitar hari pernikahan Emma menerusi ruangan IG Storynya bermula pukul 11.30 pagi, Khamis.
Menerusi rakaman tersebut Emma anggun berbusana putih diapit masuk ke dewan nikah oleh adiknya, pelakon Chacha Maembong.
Terdahulu, Gempak pernah menyiarkan berita mengenai perancangan Emma untuk bernikah dengan seorang lelaki berketurunan kerabat pada 22 Februari 2020.
Namun akhirnya, pasangan ini memilih tarikh 20 Februari 2020 (20022020) untuk memahat kasih abadi mereka.
Tahniah Emma Maembong dan suami!
#Emma Maembong #Nikah #Emma Maembong
;