Laman Utama
Emosi Lagu Eemrun Untuk Arwah Nenek
Pendatang baru yang mahu dikenali sebagai Eemrun mengakui tidak mudah bersaing dalam industri muzik komersial.
Eemrun atau atau nama sebenarnya Muhammad Imran Daniel Mohammad Salahuddin mula menapak dalam bidang muzik secara underground.
Bagaimanapun katanya, dia tetap berasa puas kerana lagu-lagu ciptaan dan terbitannya yang dimuat naik di saluran Youtube mendapat sambutan baik pendengar.
Maklum balas positif yang diterima menjadikan Eemrun yakin untuk terus memperjuangkan apa yang sudah dimulakan.
Sebagai permulaan, Eemrun memberanikan diri melangkah ke pasaran muzik tempatan secara komersial dengan mempertaruhkan lagu Emosi.
Lagu hasil ciptaan sepenuhnya Eemrun dengan sentuhan bersama penerbit Efry Arwis, lagu Emosi yang bergenre balada itu dihasilkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.
Menurut anak jati Kuala Lumpur ini, idea dan melodi lagu itu datang secara tiba-tiba pada jam 3 pagi tatkala dirinya bergelut dengan emosi selepas kematian nenek tercinta.
“Lagu ini mempunyai mesej yang sangat mendalam. Ketika itu saya berasakan diri kosong dan tidak mempunyai emosi selepas kematian nenek. Saya hilang tempat mengadu. Apa saya lalui dan rasa, saya terjemahkan dalam lagu ini.
“Apabila pendengar mendengar lagu ini, mungkin mereka boleh kaitkan dengan cinta atau ketika kehilangan seseorang. Apa yang penting, saya mahu pendengar faham maksud tersirat pada setiap bait lirik lagu ini.
“Bagi saya, lagu Emosi kena dengan cita rasa orang kita yang mana mereka boleh terima melodi yang dipersembahkan dalam lagu ini. Kalau mereka mendengar pasti dapat rasa dan boleh dijadikan terapi,” katanya.
Berkongsi mengenai langkahnya terjun dalam pasaran muzik komersial, Eemrun berkata ia satu lagi percubaan baharu dalam hidupnya seperti mana ketika terbabit dalam muzik underground.
“Sebelum ini saya artis underground saja. Saya buat lagu dan muat naik di YouTube. Selepas menghasilkan 20 lagu, kiranya lagu Emosi ini adalah yang pertama menjengah pasaran komersial. Semua lagu dihasil dan disiapkan sendiri di rumah.
“Apabila melangkah secara rasmi dalam pasaran muzik komersia, saya anggap ini adalah perkara baharu yang saya perlu cuba.
“Sama seperti underground dulu. Cuma, apa boleh dikatakan kali ini saya nak ‘upgrade’ diri. Dalam masa sama, saya percaya dengan hasil kerja, sebab itu nak masuk secara komersial,” katanya.
Menjadikan pemuzik underground di Amerika Syarikat, Linkin Park dan ramai lagi sebagai rujukan muziknya, Eemrun berkata dia tetap tidak melupakan pemuzik tempatan.
Malah, lagu-lagu daripada kumpulan Hujan, Bunkface dan YonnyBoi antara yang menjadi perhatiannya.
Lagu Emosi kini sudah tersedia di semua platform muzik digital seperti Spotify, Apple Music, iTunes, KKBox, Deezer dan Joox.
Video muzik Emosi sudah ditayangkan di saluran YouTube Universal Music Malaysia pada 19 Februari lalu.