Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
HIBURAN

Empat Live In Kuala Lumpur 2025 Satukan Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri & Syamel Dalam Satu Pentas Bersejarah

Asyraf Roslan 23/04/2025 | 04:05 MYT

Sejarah baharu bakal terlakar dalam industri muzik tempatan apabila empat figura ternama negara, Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel bergabung buat pertama kalinya dalam sebuah konsert istimewa bertajuk Empat Live In Kuala Lumpur 2025.

Bukan sahaja berkongsi pentas malah empat figura hebat ini juga mempunyai ikatan kekeluargaan.
Ziana Zain dan Anuar Zain merupakan adik-beradik, manakala Ernie Zakri adalah anak saudara mereka dan Syamel pula merupakan suami kepada Ernie.
Selaku penganjur, Anuar Zain menyifatkan konsert Empat ini sebagai lambang cinta, kasih sayang dan silaturahim yang ingin dikongsi bersama peminat dari pelbagai generasi.
"Ini adalah projek impian yang telah dirancang sejak dua tiga tahun lalu.
Ia bukan sekadar konsert, tetapi satu simbol kekeluargaan dan penghargaan kepada peminat yang selama ini menyokong kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Ziana Zain pula menyifatkan konsert ini sebagai sebuah "temasya cinta" antara dua generasi penghibur bersama para peminat.
"Kami tidak menjanjikan sesuatu yang luar biasa, tetapi kami mahu semua yang hadir pulang dengan momen yang magis dan indah,” katanya.
Konsert ini diarahkan oleh pengarah berpengalaman Jennifer Thompson manakala muzik akan dipimpin oleh Sze Wan bersama barisan pemuzik profesional.

Tiket konsert boleh mula dibeli bermula 25 April 2025 jam 10.00 pagi menerusi laman web rasmi https://www.ticket2u.com.my/empatkl.
Tiket Empat Live In Kuala Lumpur 2025 dijual dengan harga bermula RM288 (Bronze), RM388 (Silver), RM488 (Gold), RM688 (Platinum), RM888 (Diamond), RM1,088 (VIP) dan RM2,088 (Royal Twin Seat – dua tiket).
Untuk pembelian tiket kategori OKU, hubungi terus talian khas di +6011-1190 0518.

Konsert yang dinanti-nantikan ini akan berlangsung pada 18 Oktober 2025 bertempat di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, dan dijangka menjadi antara acara muzik paling bersejarah yang pernah dianjurkan.

#Syamel #Anuar Zain #Ziana Zain #Ernie Zakri #Konsert Empat