VIRAL
Emran Rijal Tetap Nak Jumpa El Azman Untuk Selesai Kontroversi - “Kami Belum Bersua Muka Tapi…”
Usahawan, Emran Rijal akui masih belum sempat bersua muka dengan pengasas Elrah Exclusive, El Azman bagi menyelesaikan isu yang timbul berhubung penggunaan motif keris dalam koleksi Samping Raya Elrah Exclusive 2025.
Menurut Emran yang juga suami kepada pempengaruh, Tyra Kamaruzzaman, dia sangat berharap bahawa mereka dapat berjumpa dalam masa terdekat bagi menyelesaikan isu ini bagi mengelakkan salah faham pada masa akan datang.
“Kami belum bersemuka lagi tapi pihak Elrah sudah pun mengeluarkan statement, kami hargai kenyataan yang telah dikeluarkan. Lagipun buat masa ini saya sedang sibuk dengan perniagaan jadi kurang memberi perhatian terhadap isu tersebut namun saya serahkan kepada team untuk proses seterusnya.
“Saya juga sebenarnya tidak mahu panjangkan cerita dan perkara ini boleh dibincangkan secara profesional, jadi saya harap kami akan dapat berjumpa. Ini juga bagi mengelakkan berlakunya salah faham pada kemudian hari,” kata Emran ketika ditemui Gempak.
Pada masa sama, Emran turut meluahkan rasa syukur kerana dia dan isteri tidak terkesan dengan kecaman yang diberikan oleh warganet.
Menurut Emran, isu yang terjadi kepadanya ini merupakan asam garam dalam dunia perniagaan dan berharap dia akan lebih peka dalam isu-isu sebegini.
“Kami sentiasa ada untuk antara satu sama lain, jadi saya rasa tiada masalah untuk kami hadapi kata-kata netizen. Lagi pun kami anggap ini adalah satu pengajaran dalam dunia perniagaan, jadi kami akan lebih peka pada masa akan datang,” ujarnya.
Emran di temui Gempak ketika menghadiri majlis pelancaran single terbaharu Tunku Ines iaitu Radar baru-baru ini.
Terdahulu, usahawan dan pempengaruh Tyra Kamaruzzaman, meluahkan rasa kecewa apabila rekaan samping suaminya, Emran Rijal, didakwa telah diciplak oleh seorang usahawan Baju Melayu.
Tyra menjelaskan bahawa corak tersebut merupakan hasil tangan turun-temurun keluarganya dan telah digunakan dalam perkahwinannya.
Difahamkan pihaknya telah menghubungi usahawan tersebut sejak beberapa bulan lalu, namun hanya menerima pelbagai alasan tanpa penyelesaian.
Namun pengasas Elrah Exclusive, El Azman juga akhirnya tampil menjelaskan kontroversi yang timbul.
Menurutnya, tuntutan yang dibuat oleh pihak terbabit tidak berasas kerana motif keris bukanlah hak milik eksklusif mana-mana individu atau organisasi.
Sebaliknya, merupakan sebahagian daripada warisan budaya Nusantara yang telah lama wujud dalam seni tekstil Melayu.
Must-Watch Video