Persatuan Kebajikan Enam Sahabat (Six League) tampil melaksanakan khidmat sosial melakukan disinfeksi dan pembasmian kuman secara percuma kepada penduduk setempat.

Perkhidmatan percuma tersebut dilakukan untuk mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat.

Operasi dijalankan bukan berasaskan keuntungan ini meliputi tempat-tempat awam seperti kawasan perumahan, sekolah, masjid, pasar, balai polis, pusat penjaja, kawasan komersial dan lain-lain.

Salah seorang wakil daripada Six League, Datuk Derrick Hooi berkata proses disinfeksi yang dijalankan memenuhi piawaian ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dengan Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Selepas enam tahun ditubuhkan kami berasakan sudah tiba masanya perkhidmatan sosial diperluaskan lagi dan tidak tertumpu kepada bantuan dalam bentuk bekalan makanan semata-mata.

“Jika sebelum ini fokus kami memberi bekalan makanan kepada golongan yang memerlukan dan warga tua tetapi kali ini skop diperluaskan demi kebaikan kita bersama.

“Setakat ini kami telah menjalankan disinfeksi di beberapa pangsapuri sekitar kawasan Taman Danau Desa secara percuma,” katanya.

Tambah Derrick, persatuan kebajikan mereka juga ingin meluaskan lagi kawasan disinfeksi namun kekurangan tenaga kerja.

Justeru sukarelawan lebih ramai diperlukan untuk melicinkan lagi kerja-kerja sosial berkenaan.

“Setakat ini kami hanya mempunyai sekitar lapan orang sukarelawan sahaja. Kami juga ingin mecari lebih ramai lagi sukarelawan untuk bersama-sama dengan kami.

“Tiada kriteria ditetapkan tetapi kepada individu-individu yang kehilangan kerja atau pendapatan sangat dialu-alukan.

“Bayaran akan diberikan kepada sukarelawan kerana misi kami ingin membantu mengurangkan beban mereka-mereka yang memerlukan,” katanya.

Derrick turut mempelawa orang ramai yang berminat menjadi sukarelawan menghubungi nombor 013-281 7799 untuk urusan lanjut.

Derrick ditemui ketika Majlis Pelancaran Perkhidmatan Dinsfeksi Percuma Persatuan Kebajikan Enam Sahabat pada Jumaat lalu.

Majlis dilancarkan ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Turut hadir empat lagi wakil Six League iaitu Pengerusi Fon Ah Meng ,Lam Ji Ho, Dato’ Philip Ng dan Dato Sri Steven Yong.