Enam Termasuk Bayi Enam Bulan Ditemukan Maut Dalam Kereta Yang Tenggelam Dalam Sungai Korok
Bomba Kedah hari ini mengesahkan enam mangsa ditemukan dalam sebuah kereta jenis Proton Saga Iswara yang tenggelam dalam Sungai Korok, Alor Setar, Kedah.
Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim yang mengesahkan penemuan itu bagaimanapun berkata, identiti kesemua mangsa sedang dikenal pasti.
Sehingga kini, kata Ahmad Aminuddin, mayat empat mangsa berjaya dikeluarkan dan dinaikkan ke tebing sungai.
Sementara dua lagi mayat yang dipercayai suami isteri belum dapat dikeluarkan lagi.
“Bomba mengalami kesukaran untuk mengeluarkan mayat dan terpaksa memotong bumbung kenderaan bagi mengeluarkan mangsa,” kata Ahmad Aminuddin yang ditemui di lokasi kejadian, di sini, pada Isnin.
Sebelum ini media melaporkan enam sekeluarga termasuk seorang bayi berusia enam bulan dikhuatiri hilang selepas gagal dihubungi oleh ahli keluarga yang lain sejak Sabtu lepas.
Kehilangan Mohd Azim Ezzat Ishak, 32, isterinya, Nurul Hidayah Khalijah Razman Effendy, 31, serta empat anak mereka berusia enam bulan hingga sembilan tahun itu disedari apabila tidak pulang ke rumah di Jerlun selepas bermalam di rumah ahli keluarga yang lain di Taman Aman di Jitra.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Mohd Radzi Abdul Rahim mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan pasangan suami isteri bersama empat anak mereka.