Pelakon Khir Rahman mengimbas kembali kenangan bersama kedua ibu bapanya sewaktu majlis persandingannya dengan isteri.

Menerusi kemas kini terbaru di akaun Instagramnya, Khir berkongsi foto merakamkan gelagat bapanya, Allahyarham Datuk A Rahman Hassan bersama ibunya yang sedang ketawa.

“Momento ini dirakam sewaktu arwah abah dan mak berucap di majlis persandingan saya bersama isteri.

“Saya abadikan di sini… Saya pun tak ingat entah apa yang abah cakap hingga begitu sekali mencuit hati mak,” tulisnya.

Dalam pada itu, Khir juga memaklumkan bakal mengadakan majlis tahlil sempena 100 hari pemergian bapa tercinta.

“Buat sanak-saudara, kenalan arwah abah dan mak, teman-teman seperjuangan mereka. Kenalan-kenalan rapat saya dan isteri jua yang tahu kediaman arwah.

“Hari Sabtu nanti, andai berkelapangan dijemput untuk hadir ke majlis tahlil 100 hari pemergian Abah, pada hari Sabtu ni, 28 September ya.

“Kita Asar kemudian tahlil, andai ada yang terlupa alamatnya bolehlah menghubungi saya terus untuk pencerahan,” coretnya.


Terdahulu, penyanyi era 1960-an, Datuk A Rahman Hassan meninggal dunia di Hospital Ampang, Kuala Lumpur kira-kira pukul 12.40 tengah malam akibat jangkitan kuman pada paru-paru dan lemah jantung pada Jun lalu.