Drama premium Kampung Pisang Bersiri-siri akan menemui penonton buat pertama kalinya malam ini menerusi episod pertama berjudul Toyol oh Toyol.

Episod pertama karya pengarah tersohor Mamat Khalid ini turut menampilkan pelakon Khuda sebagai TJ Isa yang memeliha toyol untuk mencari kekayaan mudah.

Toyol oh Toyol mengisahkan keadaan Kampung Pisang menjadi kecoh dengan kehilangan duit dan barang berharga penduduk kampung yang banyak.



Keadaan menjadi lebih huru hara apabila air di Kampong Pisang di catu dan menyebabkan suasana di kampung lebih memudaratkan. Muncul Khuda untuk menjual air bersih kepada penduduk kampung.

Kampong Pisang Bersiri-siri menghimpunkan barisan watak komedi daripada francais terdahulu antaranya, Pak Jabit dan Husin daripada filem Zombi Kampung Pisang, Kak Limah (Hantu Kak Limah), Cik Purnama, Chomprak, Joko Anuar, Pembantu Perubatan (Hantu Kak Limah Balik Rumah) dan penampilan watak Barkoba daripada 16 dan 17 Puasa.

Malah, turut memperkenalkan watak sampingan baru seperti Pak Kasim, Pak Din ‘Pest Control’, Pak Karim dan Cik Chun.

Kampong Pisang Bersiri-Siri akan bersiaran sebanyak 12 episod bermula 7 Disember ini, setiap Isnin, pukul 9.00 malam, di Astro Citra, saluran 108 (HD) / 128 (SD).