HIBURAN

ERA Dalam Misi Mencari Pendengar Bertuah Terbang Ke Old Trafford Bersama Safee Sali

Gempak 19/05/2025 | 06:46 MYT

Stesen Radio Nombor 1 Malaysia, ERA dalam misi mencari seorang pendengar bertuah untuk terbang ke Old Trafford United Kingdom.

Pendengar yang dipilih tidak keseorangan, dia akan bersama dengan penyampai Super Safee ERA, Safee Sali untuk merasai pengalaman menakjubkan di padang terbesar milik pasukan Manchester United.
Pengurus Jenama ERA Azah Sahrin berkata pendengar hanya perlu memuat naik video di media sosial masing-masing berkaitan dengan kemahiran luar biasa bermain bola sepak dengan hastag #ERAefootballjomkemanchester.
Mereka boleh menghantar video tersebut mulai 12 Mei yang lalu dan akan berakhir 23 Mei ini.
“Pendengar yang bertuah itu akan dipilih oleh pihak pengurusan tertinggi ERA, selepas terpilih dia akan menjadi pasukan Safee Sali.
"Dia dan Safee akan berganding tenaga dan taktikal permainan untuk menentang pasukan dari Indonesia Atep’s Team.
"Ke semua aksi dan perlawanan tersebut akan berlangsung di stadium mega Manchester United di Old Trafford 7 Jun nanti,” ujarnya.
Tambah Azah, ini satu-satunya peluang kemasan kepada peminat setia Manchester United untuk melihat sendiri stadium Old Trafford yang sering menjadi tontonan ramai di seluruh dunia dalam mana-mana perlawanan bola sepak menentang The Red Devils.
“Saya yakin pendengar terpilih tersebut berasa bangga dan berbesar hati kerana dapat berada di stadium berkenaan.
"Dia akan merasai pengalaman yang sukar digambarkan kerana dapat memijak rumput yang sama dengan pemain terkemuka Manchester United.
"Peraduan mega ini sahaja satu-satu peluang peminat setia MU untuk menunjukkan bakat terpendam mereka,” akhir Azah.

#Safee Sali #Era #Old Trafford